Ahli Parlimen PKR persembah nama Anwar pada Agong


Kalidevi Mogan Kumarappa

Presiden PKR Anwar Ibrahim melambai ke arah media ketika tiba di Istana Negara pagi ini. Ahli Parlimen PKR sepakat menamakan Anwar Ibrahim sebagai PM ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 26 Februari, 2020.

AHLI parlimen PKR sepakat menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri kelapan sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini, menurut beberapa ahli wakil rakyat tersebut.

Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew berkata, beliau sudah menandatangani akuan bersumpah menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Kami bagi sokongan penuh (kepada Anwar) sebagai perdana menteri kelapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadap baginda.

“Baru sebentar tadi kami tandatangan SD (akuan bersumpah) dan setakat ini PKR berdiri di belakang Anwar. Saya percaya Amanah dan DAP bersama dengan kami, kami selalu bersama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution tidak menyebut nama ahli Parlimen pilihan parti itu untuk diangkat sebagai perdana menteri, sebaliknya berkata mereka menamakan “pemimpin dari parti”.

“Calon itulah yang kami namakan dalam dokumen (akuan bersumpah) yang ditandatangani.

“Apa yang saya boleh bagitahu (nama itu) adalah daripada Keadilan (PKR),” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, PKR yakin mendapat sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang juga ketua komunikasi PKR berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung perkara itu hari ini. – 26 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen