SEMUA ahli Parlimen Bersatu menyokong penuh Dr Mahathir Mohamad terus menjadi perdana menteri dan keputusan itu telah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.
Ketua Penerangan Bersatu Radzi Jidin dalam satu kenyataan hari ini berkata kepimpinan parti juga sebulat suara menolak peletakan jawatan Dr Mahathir selaku pengerusi parti.
“Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari telah membuat ketetapan menyokong penuh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri Malaysia.
“MPT juga menolak peletakan jawatan Tun sebagai pengerusi Bersatu,” katanya.
Tambah Radzi, keputusan itu kemudian disampaikan kepada semua ahli Parlimen Bersatu oleh Muhyiddin dalam satu pertemuan sejurus selepas MPT bermesyuarat.
“Kesemua ahli Parlimen Bersatu telah menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada pagi ini untuk menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir senagai perdana menteri.”
Radzi turut menyeru kepada semua ahli Bersatu supaya bertenang dan meletakkan sepenuh keyakinan kepada kepimpinan parti untuk menangani kemelut politik yang sedang berlaku.
Bersatu mempunyai 26 ahli Parlimen termasuk Dr Mahathir. Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan perdana menteri pada Isnin lalu.
Tidak lama selepas pengumuman tersebut, Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH). Ini diikuti pengumuman mengejutkan Dr Mahathir yang meletak jawatan pengerusi parti.
Dr Mahathir dilaporkan kecewa dengan tindakan partinya sendiri mendesak beliau bekerjasama dengan Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu.
Susulan kemelut politik yang berlaku, Yang di-Pertuan Agong mengadakan sesi temuduga dengan setiap ahli Parlimen untuk menentukan kerajaan baharu.
Barisan Nasional dan PAS pada sidang media semalam berkata mereka tidak menamakan sesiapa untuk dilantik sebagai perdana menteri, dan memberitahu Yang di-Pertuan Agong mereka mahu pilihan raya diadakan semula.
Sementara itu, tiga lagi parti komponen PH, iaitu PKR, Amanah dan DAP berkata mereka yakin mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. – 26 Februari, 2020.
Komen