Kedai papar notis 'Melayu sahaja' di Johor tarik perhatian orang ramai


Sultan Johor mengarahkan sebuah kedai dobi di Muar ditutup jika ia tidak membuang notis 'Islam sahaja' pada September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November 2017.

SEBUAH premis perniagaan di Johor menjadi perhatian orang ramai apabila memaparkan tanda “Melayu sahaja”, dua bulan selepas Sultan Johor murka terhadap pemilik kedai dobi di Muar selepas meletakkan tanda untuk “orang Islam sahaja”.

Akhbar China Press melaporkan kedai yang menjual produk penjagaan kesihatan dan rumah Jepun, di Larkin Perdana memperlihatkan notis memberitahu pelanggan yang hanya Bahasa Malaysia digunakan bagi menjalankan semua sesi promosi.

Notis dalam Bahasa Malaysia dan Cina, meminta pelanggan Cina ke cawangan kedainya yang lain bagi memenuhi keperluan komuniti itu.

Menurut The Star, pengurus kedai memberitahu China Press yang syarikatnya cuba mengembangkan pasaran dengan menggalakkan penyertaan lebih banyak orang Melayu dan India, dan ia telah menubuhkan cawangan di Ipoh, Kuala Lumpur dan Johor di mana hanya Bahasa Malaysia digunakan.

Katanya, syarikat itu mempunyai satu cawangan di Klang, Selangor, yang menggunakan bahasa Cina sebagai medium perantaraan utama.

Beliau berkata pada mulanya, kebanyakannya pelanggan syarikat terdiri daripada kaum Cina memandangkan produknya tidak disahkan halal.

Bagaimanapun, sesetengah item sudah memperoleh sijil halal.

Pengurus itu berkata, ia mempunyai premis berbeza untuk kaum tertentu sebagai strategi pemasaran.

Pada September, tanda “Islam sahaja” di Muar membangkitkan kemarahan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang kemudian mengarahkannya ditutup.

Baginda mengecam pemilik perniagaan sebagai “sakit”, sementara anaknya, Tunku Idris Sultan Ibrahim, berkata “sangat terkejut” terhadap kejadian itu. – 10 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen