YANG di-Pertuan Agong hari ini menerima menghadap baki 132 ahli Parlimen di Istana Negara, sebagai sebahagian daripada proses menentukan kerajaan baharu.
Seramai 90 ahli Parlimen dipanggil menghadap Agong semalam dan diberi dua pilihan – menamakan seorang calon perdana menteri atau mahu Parlimen dibubarkan supaya pilihan raya diadakan.
Bermula dari jam 10 pagi, mereka yang dipanggil menghadap hari ini adalah ahli Parlimen dari PKR, Amanah, DAP, parti-parti Sabah, bebas dan 11 bekas ahli Parlimen PKR.
Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin dilihat tiba pada jam 9.45 pagi.
Ahli Parlimen Simpang Renggan Maszlee Malik, juga dari Bersatu, tiba lebih awal dan mengedarkan minuman kepada petugas media di luar Istana Negara.
Ahli-ahli Parlimen PKR termasuk presiden parti, Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara dengan menaiki bas “hop-on, hop-off” sambil melaungkan “Reformasi!”.
Kira-kira 50 penyokong PKR membawa bendera parti berkumpul di pintu masuk istana, sebagai tanda sokongan kepada Pakatan Harapan (PH). PH tumbang selepas Bersatu mengumumkan keluar dari pakatan itu Isnin lalu. – 26 Februari, 2020.
Komen