Pemuda Bersatu sokong Dr Mahathir sebagai PM


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak kerjasama dengan Umno kerana tidak mungkin bersekongkol dengan mereka yang telah mencalarkan imej Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 25 Februari, 2020.

SAYAP Pemuda Bersatu hari ini mengisytiharkan sokongannya terhadap Dr Mahathir Mohamad untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pendirian itu diambil demi kepentingan negara. 

“Mesyuarat Armada Bersatu Malaysia mengambil pendirian untuk menyokong Dr Mahathir untuk terus kekal menjadi perdana menteri Malaysia bagi mengetuai pentadbiran negara demi kemaslahatan umum dan kepentingan negara,” katanya merujuk kepada sayap Pemuda parti itu, dalam satu kenyataan.

Ia turut menolak kerjasama dengan Umno secara en block di bawah kepimpinan Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

“Armada menyambut baik perpaduan Melayu namun, atas dasar prinsip dan integriti, tidak mungkin kami akan bersekongkol dengan mereka yang telah mencalarkan imej bangsa Melayu dengan merompak, dan mengkhianati amanat rakyat sewaktu ditampuk kuasa. 

“Ini merupakan satu pengkhianatan kepada mandat rakyat dan prinsip perjuangan Bersatu,” katanya.

Sementara itu dalam sidang medianya, Syed Sadiq juga menolak cadangan PAS dan Barisan Nasional (BN) supaya diadakan semula pilihan raya bagi mendapatkan kerajaan baharu.

Syed Saddiq berkata, sayap Pemuda Bersatu mengambil pendirian supaya mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu terus dikekalkan.

“Armada mengambil ketetapan untuk pertahankan mandat diberikan rakyat pada PRU14. Armada ambil ketetapan rakyat berkuasa dan telah memilih kerajaan dan tidak benarkan pencatur kuasa tentukan hala tuju negara,” kata Syed Saddiq.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, malam tadi.

Petang tadi, BN dan PAS menggesa agar pilihan raya umum baharu diadakan.

Setiausaha bersama Muafakat Nasional Annuar Musa berkata, mereka memohon agar Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk membubarkan Parlimen sewaktu menghadap hari ini.

“Dalam situasi ini, mandat harus dikembalikan kepada rakyat dan kita mohon supaya parlimen dibubarkan dan biarlah rakyat tentukan,” kata Annuar.

Syed Saddiq juga berkata beliau menaruh sepenuh kepercayaan terhadap segala keputusan dibuat Dr Mahathir.

“Percayalah kepada Dr Mahathir, beliau akan membuat keputusan yang tepat. Beliau ada jawapan di atas segala persoalan. Beliau juga sudah bertemua kesemua pimpinan parti politik. Berikan kepercayaan dan beliau akan lakukan,” katanya, lagi.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, pendirian Pemuda parti itu juga sudah disampaikan kepada pucuk pimpinan tertinggi Bersatu. – 26 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen