Himpunan bantah kerajaan 'pintu belakang' di Dataran Merdeka


Diyana Ibrahim

Sebahagian orang ramai yang menyertai himpunan aman di Dataran Merdeka malam ini bagi membantah penubuhan kerajaan 'pintu belakang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Februari, 2020.

KIRA-KIRA 80 hingga 100 orang berkumpul di Dataran Merdeka susulan kemelut politik negara yang berlaku pada hujung minggu hingga membawa kepada tumbangnya kerajaan.

Kumpulan berbilang kaum, termasuk pelajar universiti berkumpul pada jam 8.30 malam dan bersurai pada jam 10 malam.

Ada yang memberi ucapan menggesa rakyat mengutuk sebarang gerakan untuk membentuk kerajaan “pintu belakang”.

Beberapa orang membawa plakad bertulis, “Tiada kerajaan pintu belakang” dan “Pembaharuan, bukan opera”.

Mereka yang ditemuramah berkata tiada siapa menganjurkan protes malam ini, tetapi seseorang membuat e-poster acara dan disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

Seorang aktivis yang hadir berkata perhimpunan itu tidak memerlukan penganjur kerana ia adalah perhimpunan rakyat.

Sementara itu seorang lagi aktivis, Yu Ren Chung berkata jika kerajaan pintu belakang terbentuk ia sama sekali bertentangan dengan aspirasi rakyat yang mengundi untuk perubahan semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

“Apa itu demokrasi? Setiap manusia tak kira bangsa dan agama, hak asasi mereka perlu dipelihara dan suara pandangan mereka mesti diambil kira dalam menggubal undang-undang dasar kerajaan,” katanya ketika berucap dan disambut dengan laungan “Hidup rakyat mampus politikus” oleh perserta perhimpunan.

Seorang lagi penceramah, Fadiah Nadwa Fikri menyeru rakyat bangkit menolak politik kotor puak elit.

“Kuasa rakyat adalah kuasa keramat kita selalu melaungkan itu. Kita kena ingat hanya kuasa rakyat yang boleh menyelamatkan kita.

“Kita patut belajar dari itu. Kita ada maruah dan kita akan teruskan berjuang,” katanya.

Sebahagian peserta himpunan aman di Dataran Merdeka malam ini bagi membantah penubuhan kerajaan 'pintu belakang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Februari, 2020.

Turut memberi ucapan ialah aktivis pelajar Wong Yan Ke dan Setiausaha Agung Parti Siasolis Malaysia A Sivarajan.

“Wakil rakyat telah gagal. Jadi, kita perlu mengimbangi kuasa mereka. Rakyat tidak akan terima percaturan kerajaan pintu belakang,” katanya.

Protes itu berakhir kira-kira jam 9.40 dengan membakar lilin mereka turut menaburkan kelompak bunga pada sekeping poster yang tertulis ‘politikus bunuh demokrasi  Malaysia ‘ sebagai simbolik.

Protes aman itu susulan gerakan hujung minggu lalu oleh Umno, PAS, kem dalam PKR di bawah Mohamed Azmin Ali dan Bersatu, yang meninggalkan Pakatan Harapan untuk memastikan Dr Mahathir Mohamad tidak menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebelum pilihan raya umum.

Ia membawa kepada keputusan Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan  pengerusi Bersatu pada Isnin.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong mengadakan temu bual secara individu dengan 90 ahli Parlimen sebagai sebahagian daripada proses untuk membentuk kerajaan baharu.

Baki 222 ahli Parlimen pula akan menghadap Agong esok. – 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen