Polis siasat Ambiga berhubung laporan Sarawak Report


Muzliza Mustafa

Tindakan polis Malaysia menyiasat Ambiga Sreenevasan berhubung kes saman PAS terhadap Sarawak Report menimbulkan tanda tanya kerana ia difailkan di mahkamah United Kingdom. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2017.

POLIS menyiasat peguam terkemuka dan aktivis sosial Ambiga Sreenevasan di bawah Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam bersabit saman fitnah yang difailkan oleh PAS terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Langkah polis Malaysia terhadap bekas presiden Majlis Peguam itu menimbulkan tanda tanya kerana kes mahkamah itu difailkan di United Kingdom (UK).

Ambiga disiasat atas dakwaan menyalurkan maklumat kepada Rewcastle-Brown kononnya pemimpin kanan PAS menerima sejumlah wang yang besar daripada Perdana Menteri Najib Razak.

Rewcastle-Brown menamakan Ambiga sebagai sumber maklumatnya untuk laporan yang dikatakan oleh PAS sebagai fitnah itu.

The Malaysian Insight difahamkan polis telah memulakan siasatan selepas satu laporan polis dibuat oleh Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno, Zulkarnain Mahdar di balai polis Sri Petaling pada 1 November lepas.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap Ambiga.

Ambiga disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988 kerana mendatangkan khianat awam.

Seksyen berkenaan memperuntukkan kesalahan kerana membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman.

Sekiranya sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Menurut penyata pembelaan dan penyata tuntutan balas Rewcastle-Brown yang dilihat oleh The Malaysian Insight, beliau bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 tentang Najib, syarikat pelaburan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan PAS.

“Ambiga memberitahu defendan bahawa sumbernya, yang katanya boleh dipercayai, menganggarkan jumlah yang dibayar ialah sekitar RM90 juta,” kata Rewcastle-Brown dalam dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober.

Rewcastle-Brown berkata beliau menerbitkan sebahagian daripada perbualan dengan Ambiga itu sebagai komentar politik dengan penuh percaya ia melibatkan soal kepentingan awam.

Awal minggu ini, polis merakamkan kenyataan daripada wartawan yang melaporkan penyata tuntutan balas Rewcastle-Brown.

Pembelaan Rewcastle-Brown itu adalah terhadap saman fitnah yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terhadapnya pada April lalu.

Dalam samannya itu, Hadi mendakwa difitnah dalam laporan Sarawak Report bertajuk “As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connections”, yang terbit pada 6 Ogos 2016.

Tulisan itu membayangkan wang tersebut diberikan supaya PAS menyokong Barisan Nasional.

Dalam tuntutan balasnya, Rewcastle-Brown berkata Hadi menyalurkan atau membantu dua blog, termasuk Malaysia Today yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamarudin, untuk menerbitkan artikel yang mengganggunya.

“Gangguan itu menyebabkan defendan (Rewcastle-Brown) mengalami tekanan berat, cemas dan bimbang, yang beliau tuntut dibayar ganti rugi.”

Rewcastle-Brown juga memohon satu perintah injuksi menghalang Hadi daripada terus mengganggunya.

Ambiga enggan mengulas dakwaan beliau adalah sumber maklumat Rewcastle-Brown, dengan alasan kes itu sedang berjalan di mahkamah di UK. – 10 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Cina muka tembam dh siasat ke belum kaki entot kat bali dh siasat ke belum

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan