Pemimpin Pakatan tiba di ibu pejabat PKR untuk mesyuarat 


Chan Kok Leong

Ini merupakan mesyuarat pertama Majlis Presiden Pakatan Harapan susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Februari, 2020.

PEMIMPIN Pakatan Harapan mula tiba di ibu pejabat PKR untuk mesyuarat majlis presiden keduanya dalam tempoh lima hari.

Antara yang dilihat tiba adalah Dr Hatta Ramli dan Dr Mujahid Yusof Rawa pada pukul 5.15 petang.

Ini diikuti oleh penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng tiba bersama kira-kira 10 minit kemudian.

Turut hadir pemimpin PKR Sim Tze Tsin, Fahmi Fadzil serta pemimpin DAP M Kula Segaran.

Ditanya apa agenda mesyuarat berkenaan, Guan Eng menjawab: “Mengenai apa yang akan berlaku esok”.

Ahli Parlimen Pakatan dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok untuk menyatakan sokongan mereka untuk perdana menteri berikutnya.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan perdana menteri interim Dr Mahathir Mohamad hari ini, Guan Eng menjawab: “Kami berbincang”.

Ini merupakan mesyuarat pertama majlis presiden susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad dan pengunduran Bersatu daripada Pakatan Harapan pada Isnin. – 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen