201 orang ditahan di Arab Saudi


Taikun Putera Al-Waleed bin Talal, dianggap Warren Buffett Arab Saudi antara mereka yang ditahan atau dipecat dalam operasi besar-besaran sejak hujung minggu lepas, operasi terbesar melibatkan kumpulan elit negara itu dalam sejaran moden. – Gambar AFP, 9 November, 2017.

ARAB Saudi hari ini mengatakan 201 orang sudah ditahan untuk soal siasat dalam operasi cegah rasuah terbesar negara itu melibatkan kelompok elit, dengan sekurang-kurangnya AS$100 bilion (RM430 bilion) hilang disebabkan korupsi dan penyelewengan sejak beberapa dekad lepas.

“Sejumlah 208 individu dipanggil untuk siasatan setakat ini. Daripada 208, tujuh dibebaskan tanpa didakwa,” kata kementerian penerangan dalam satu kenyataan.

Taikun Putera Al-Waleed bin Talal, dianggap Warren Buffett Arab Saudi antara mereka yang ditahan atau dipecat dalam operasi besar-besaran sejak hujung minggu lepas, operasi terbesar melibatkan kumpulan elit negara itu dalam sejaran moden.

Pihak berkuasa sudah membekukan akaun bank tertuduh dan memberi amaran yang aset berkaitan dengan kes korupsi itu akan dirampas dan dijadikan harta negara ketika kerajaan nampaknya semakin meluaskan operasinya.

“Skala amalan korupsi yang dibongkar sangat besar,” kata kementerian.

“Berdasarkan siasatan kami sejak tiga tahun lepas, kami jangka sekurang-kurangnya AS$100 bilion sudah disalah guna menerusi korupsi dan penyelewengan bersistematik sejak beberapa dekad lalu.”

Operasi itu berlaku selepas jawatankuasa anti rasuah diketuai Putera Mahkota Mohammed bin Salman ditubuhkan pada Sabtu.

Dengan operasi itu, penganalisis menyifatkan Mohammed berjaya memegang kuasa sepenuhnya, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah modern Arab Saudi. – AFP, 9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen