SEORANG anggota polis melecur selepas disimbah cecair dipercayai asid di hadapan rumahnya di Indera Mahkota di Kuantan semalam, oleh lelaki yang berpura-pura menghantar bungkusan hamper kepadanya.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata Sarjan Kamarul Zaharin Abdullah, 51, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melecur di dada, belakang tengkuk, lengan kiri dan sedikit di muka.
“Suspek yang menunggang motosikal telah memanggil mangsa keluar untuk mengambil hamper sekitar 6.10 petang, sebelum bertindak menyimbah cecair ke arah mangsa yang hendak masuk semula ke dalam rumah.
“Kita percaya itu merupakan kali kedua suspek mencari mangsa, kerana dia dilihat menekan loceng rumah mangsa beberapa jam sebelum itu, namun mangsa dan keluarganya tiada di rumah ketika itu,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.
Mohamad Noor berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan semasa dihubungi berkata mangsa kini dipindahkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan stabil.– Bernama, 25 Februari, 2020.
Komen