Kenapa kerajaan Pakatan runtuh?


HARI ini rakyat Malaysia terpinga-terpinga dengan seribu satu soalan.

Soalan paling utama adalah mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiba-tiba runtuh?

Jawapannya tidak lain akibat tindakan Anwar Ibrahim ingin melakukan coup de grâce, pukulan maut, terhadap Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Jika ini berjaya dilakukan, Dr Mahathir akan menjadi “lame duck prime minister”. Ini yang dikatakan semalam oleh Mohamed Azmin Ali bersama ahli Parlimen PKR yang membentuk blok bebas.

Azmin telah berulang kali membuat kenyataan peralihan kuasa ditengah penggal akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat, khususnya masyarakat pelabur.

Sikap politik beliau konsisten mengutamakan kestabilan untuk memberikan tumpuan kepada persoalan rakyat. Ini beliau tegaskan dalam ucapan dan media sosial. 

Ini beliau kotakan sebagai menteri besar Selangor meskipun terdapat tekanan dari DAP untuk menyingkirkan PAS dari kerajaan negeri setelah PAS keluar dari Pakatan Rakyat.

Telah berbulan-bulan wacana peralihan kuasa mengambil tempat dalam wacana perdana menggantikan wacana pemulihan ekonomi, reformasi institusi dan inisiatif mengangkat martabat ekonomi rakyat.

Tahun 2020 merupakan tahun penting bagi Malaysia kerana Rancangan Malaysia Ke-12 perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan penganjuran Persidangan Apec di Kuala Lumpur. Menggugat kestabilan kerajaan yang sedang rancak membuat persiapan untuk Persidangan Apec merupakan pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan.

Dalam hal ini Anwar bermain politik talam dua muka. Beliau membuat kenyataan-kenyataan terbuka mendukung dan memberi ruang kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri serta tidak mahu Dr Mahathir dan beliau sendiri diasak untuk menamakan tarikh peralihan kuasa.

Tetapi di alam gelap mantan banduan dua kali tersebut mengarahkan kitol-kitolnya meningkatkan paluan gendang peralihan kuasa. Keceluparan tersebut mencapai tahap tinggi dan meningkatkan kepanasan barometer politik dengan kenyataan seorang kitol: “Kalau Tun Mahathir tidak turun, kami akan tunjukkan jalannya.”

Dalam senario ini, Azmin perlu sentiasa bersiap sedia. Beliau hanya membuat kenyataan politik pada tahap minima kerana memberikan tumpuan kepada menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12. Namun beliau menghidu implikasi politik dari peningkatan kelantangan wacana peralihan kuasa.

Kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri merupakan paksi kestabilan kerajaan dan kelangsungan dasar kerajaan yang terbentuk selepas 9 Mac 2018. Azmin bersedia melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Dr Mahathir kekal berkhidmat sepenuhnya penggal. – 25 Februari, 2020.

* Khalid Jaafar adalah pengerusi Institut Kajian Dasar.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen