Exco Kedah dijangka bertemu MB di Sri Mentaloon


Zaim Ibrahim

Pertemuan yang dijadualkan bermula 10.30 pagi ini dipercayai untuk membincangkan keadaan politik di Kedah susulan perkembangan politik di Putrajaya sejak hujung minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

MENTERI Besar Kedah Mukhriz Mahathir dijangka bertemu barisan exco negeri ketika kedudukan kerajaan dilihat rapuh selepas Bersatu menarik diri keluar dari Pakatan Harapan (PH) semalam.

Ini memandangkan PH tidak lagi membentuk majoriti kerana Bersatu meninggalkan DAP, PKR dan Amanah yang kini hanya mempunyai keseluruhan 13 kerusi.

PAS kini menjadi parti dengan kerusi paling banyak, 15 kerusi dan Umno pula menguasai dua kerusi.

Umno dan PAS, yang menjalin kerjasama politik secara rasmi sejak September lalu membolehkan pakatan itu mempunyai keseluruhan 17 kerusi.

Jika keadaan krisis politik ini berterusan, kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu yang mempunyai 6 kerusi dilihat mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan.

Oleh itu pertemuan yang dijadualkan bermula 10.30 pagi ini dipercayai untuk membincangkan keadaan politik di Kedah susulan perkembangan politik di Putrajaya sejak hujung minggu lalu.

Notis memaklumkan pertemuan itu disebarkan kepada wartawan awal pagi ini.

Mukhriz pada pagi tadi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri interim Dr Mahathir Mohamad di kediamannya, Seri Kembangan.

Pemimpin Bersatu lain juga dilihat hadir ke kediaman Dr Mahathir, iaitu Presidennya Muhyiddin Yassin dan Ketua Wanita, Rina Harun.

Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan selaku perdana menteri semalam, sejam selepas Muhyiddin umum Bersatu keluar daripada PH.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali kemudiannya dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Agong juga berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim. – 25 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen