YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menerima mengadap ahli-ahli Parlimen dan pemimpin parti termasuk Umno, PAS dan parti dari Sabah dan Sarawak hari ini.
Seri Paduka akan menentukan blok manakah yang mempunyai majoriti ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan.
Media dimaklumkan Istana Negara akan mengadakan satu taklimat khas pada 12.30 tengah hari mengenai acara yang bermula 2.30 petang ini, di mana Agong dijangka menerima mengadap ahli-ahli politik.
Sementara itu menurut sumber, semua ahli Parlimen telah diminta untuk mengadap Agong petang ini.
Seri Paduka semalam melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim, beberapa jam selepas Dr Mahathir meletak jawatan susulan kekecohan pada hujung minggu lalu, menyebabkan beliau melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.
Dr Mahathir memulakan tugasnya di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini.
Peletakan jawatannya itu menyebabkan Kabinet yang dilantiknya pada 2018 terbubar, tetapi sebagai perdana menteri interim, beliau ada kuasa untuk melantik anggota Kabinet, kata peguam negara.
Beliau juga boleh menjadi perdana menteri interim untuk tempoh yang tidak ditetapkan.
Antara kelihatan di Istana Negara pagi tadi adalah Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh.
Beliau tba pada jam 11.05 pagi dan beredar 40 minit kemudian.
Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik tiba pada jam 11.48 pagi. Beliau sebelum itu mengedarkan minuman kepada media yang berkumpul di depan istana.
Selain itu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara Tommy Thomas juga mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.
The Malaysian Insight difahamkan kedua-duanya mengadap Agong hanya berkenaan pelantikan kehakiman. – 25 Februari, 2020.
Komen