INDIA dan Bangladesh melancarkan perkhidmatan keretapi baharu, yang menghubungkan Kolkata di barat Bengal dengan bandar Khulna di Bangladesh.
Perkhidmatan keretapi Bandhan Express yang mula beroperasi pada Khamis itu, meliputi jarak sejauh 170 kilometer.
Bangladesh merupakan negara penting yang turut dimasukkan dalam pembangunan rangkaian pengangkutan di India, selain negara jiran seperti Nepal, Myanmar dan Bhutan.
Perdana Menteri India Narendra Modi, rakan sejawatannya dari Bangladesh, Sheikh Hasina dan Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee melancarkan perkhidmatan kereta api berhawa dingin itu melalui persidangan video.
Turut dirasmikan dua buah jambatan yang dibina dengan kos AS$100 juta dan terminal penumpang kereta api antarabangsa di Chitpur, Kolkata.
“Hari ini adalah hari yang amat bermakna untuk hubungan antara kedua-dua negara dengan perasmian perkhidmatan kereta api dan jambatan. Perkhidmatan kereta api itu impian penduduk di sempadan kedua-dua negara,” kata Hasina.
Modi berkata, projek baharu tersebut mengukuhkan lagi sejarah hubungan Bengal dengan Bangladesh.
Beliau berkata, dengan adanya terminal penumpang antarabangsa, dapat membantu orang ramai menggunakan perkhidmatan Kolkata-Khulna dan Maitree Express (Friendship Express), yang menghubungkan Kolkata dengan Dhaka. – Bernama, 9 November, 2017.
Komen