KERAJAAN negeri Sarawak diberi mandat untuk membentuk sebuah “pasukan petugas khas peringkat tinggi” untuk berunding dengan Putrajaya bagi menyelesaikan semua isu tertunggak berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mandat itu termasuk mendesak kerajaan Persekutuan mematuhi sepenuhnya dan mendukung jaminan serta hak istimewa yang diberikan kepada Sarawak di bawah Perlembagaan Persekutuan “selaras dengan terma-terma, hasrat dan semangat Perjanjian Malaysia 1963”.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Douglas Uggah, semasa membentangkan usul menteri mengenai MA63, turut meminta mandat “bagi mengambil langkah yang perlu” di bawah Artikel VIII Perjanjian Malaysia untuk memastikan pelaksanaan sepenuhnya cadangan laporan jawatankuasa antara kerajaan (IGC) yang bertujuan melindungi kepentingan Sarawak.
Artikel VIII MA63 memperuntukkan perjanjian itu boleh dilaksanakan melalui kuasa eksekutif, legislatif dan tindakan-tindakan lain oleh kerajaan persekutuan serta Sabah dan Sarawak.
Antara isu yang jadi masalah ialah rungutan Sabah dan Sarawak berkenaan Akta Pelantar Benua 1996 yang mengurangkan sempadan kedua-dua negeri itu daripada 12 batu (19.3km) dari garis pantai kepada hanya tiga batu (4.83km).
Pengkritik pindaan itu selama ini berhujah undang-undang itu memberi hak kepada syarikat minyak negara, Petronas untuk mengaut hasil minyak dan gas di perairan Sabah dan Sarawak.
Menurut Uggah, sempadan Sarawak pada Hari Malaysia sudah “digariskan dengan jelas” di bawah Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council, 1954.
“Ini adalah sempadan negeri dan hak-hak wilayahnya dilindungi oleh Artikel 1(3) dan 2(b) Perlembagaan Persekutuan.
“Britain menentukan sempadan negeri untuk melindungi hak-hak negeri terhadap semua sumber alam, termasuk minyak dan gas asli di pelantar benua,” katanya.
Jelas Uggah, sempadan dan wilayah negeri juga tidak boleh dipinda tanpa izin negeri.
Timbalan ketua menteri itu juga berkata kerajaan Britain, dalam satu kenyataan rasmi yang kini tersimpan di arkib negaranya, menyatakan “hak negeri pesisir untuk menuntut kedaulatan ke atas dasar laut dan sub tanah yang bersambung dengan pantai bagi mengawal eksploitasi sumber alamnya di situ sudah diperjelaskan dalam amalan antarabangsa.”
Kata Uggah, Akta Pelantar Benua dan Akta Cari Gali Petroleum 1966, yang diluluskan ketika darurat pada 1969 dan membolehkan kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa ke atas pelantar benua Sarawak, tidak lagi berkuat kuasa apabila perisytiharan darurat itu dibatalkan oleh Parlimen pada Disember 2011.
Katanya, kuasa di bawah perlembagaan berhubung pengeluaran lesen teroka dan melombong, oleh itu, kekal pada kerajaan negeri.
Tambah Uggah, dokumen sejarah yang relevan yang diperolehi dari arkib Britain di London oleh pasukan perundangan diketuai Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, meletakkan Sarawak pada kedudukan yang lebih kukuh untuk berunding. – November 9, 2017.
Komen