Pengundi tolak kerajaan pintu belakang, mahu pilihan raya diadakan 


Alfian Z.M. Tahir Zaim Ibrahim

Kebanyakan pengundi yang ditemui menolak kerajaan pintu belakang dan mahu kemelut politik diselesaikan melalui peti undi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

AZMAN Ahmad tidak sukakan Pakatan Hsrapan kerana merasakan DAP “anti-Islam” dan sudah melampau.

Namun beliau yang merupakan ahli perniagaan dari Selangor tidak bersetuju sekiranya Pakatan Harapan dijatuhkan oleh kerajaan “pintu belakang” yang mendaat kuasa melalui plot yang dirancang.

“Jalan terbaik bukan melalui cara merampas undi rakyat melalui pintu belakang tapi secara jemaah melalui rundingan dan melalui Yang di-Pertuan Agong.

“Cara yang terbaik adalah melalui pembubaran Parlimen dan adakan pilihan raya,” kata Azman, 43. 

Pandangan Azman untuk mengadakan pilihan raya baharu turut disuarakan 11 individu yang ditemui The Malaysian Insight di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Sarawak untuk mendapatkan pandangan berhubung kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Pentadbiran Pakatan tumbang selepas parti komponennya Bersatu dan 11 ahli Parlimen daripada PKR keluar daripada pakatan itu semalam. 

Salah seorang pengundi yang ditemui The Malaysian Insight, Ammar Zainal Abidin dari Permatang Pauh, Pulau Pinang berkata beliau menyokong perubahan kerajaan.

“Pertukaran kerajaan pintu belakang ini tak adil untuk sesuatu bangsa bagi negara demokrasi. Tapi sebagai rakyat yang berbangsa Melayu, rasanya ini
satu kelebihan dan saya sukakannya,” katanya. 

Namun bagi seorang lagi pengundi berasal dari Pulau Pinang meluahkan kekecewaannya dengan cubaan menubuhkan kerajaan pintu belakang. 

“Saya rasa buang masa balik ke Pulau Pinang untuk mengundi pada PRU14 apabila hari ini kita lihat Umno kembali. Saya hadap jalan yang sesak, berjam-jam
sebab mahukan perubahan.

“Saya tidak akan sokong bentuk kerajaan daripada pintu belakang tak kira daripada mana-mana parti. Kalau nak buat kerajaan pun buat la pilihan raya
balik, baru adil dan keadaan negara stabil,” kata Safwana Afiqah Mahmood, 27, yang berasal dari Bukit Minyak.

Sementara itu, Andrew, 33, dari Bukit Merajam tidak pernah membayangkan akan menyaksikan Umno dan PAS dalam kerajaan persekutuan. 

“Nak tukar kerajaan, buatlah masa PRU. Cara ini tidak boleh diterima rakyat,” katanya. 

Sementara itu di Sarawak, Richard Spencer John, Phillip Tero dan Joseph Ramanair turut menggesa agar pilihan raya diadakan bagi menyelesaikan kemelut itu. 

“Untuk mengubah kerajaan dengan cara ini, untuk menentang hasrat orang yang enggan diperintah oleh rejim sebelumnya hanyalah satu penyalahgunaan undang-undang, dan satu eksploitasi yang bertentangan dengan semangat perlembagaan,” kata John.

“Perkara yang perlu dilakukan adalah mengadakan pilihan raya. Dengan cara ini, negara boleh menentukan sendiri siapa yang harus mentadbirnya. “

Di Selangor, M Pritha kecewa kerana mandat politik bagi undi pertama yang dilakukannya tidak akan dilaksanakan.

“Saya tidak setuju dengan melangkaui pilihan raya dan menubuhkan kerajaan pintu belakang. Sekiranya itu berlaku, saya amat kecewa kerana undi pertama saya jadi begini.”

Walaupun kerajaan pintu belakang sah, namun ianya tidak bagus dari segi moral, kata Yap Kian Wei, 37. 

“Menubuhkan kerajaan pintu belakang dari segi moral adalah salah kerana mandat telah diberikan kepada PH,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur. – 25 Februari, 2020.
 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen