Bersatu tolak peletakan jawatan Dr Mahathir


Diyana Ibrahim

Sebahagian daripada ahli Betsau yang hadir di ibu pejabat parti itu di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Februari, 2020.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu menolak peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti dan perdana menteri.

Setiausaha Agung Marzuki Yahya mengesahkan semua ahli Mesyuarat Bersatu Tertinggi menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi parti.

“Bersatu dan ahli Parlimen buat keputusan paling jelas termasuk ahli Parlimen akan sokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri,” katanya.

Marzuki turut menafikan laporan yang mendakwa  beberapa ahli Parlimen keluar parti dan menambah barisan pemimpin Bersatu masih utuh dan terus kekal.

“Kita masih dalam satu barisan dan kita telah membina parti ini dan kita harungi apa juga halangan dan rintangan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat.

Beliau juga menjelaskan keputusan Bersatu keluar PH merupakan keputusan sebulat suara yang dipersetujui dalam mesyuarat parti.

Pada masa sama beliau berkata mesyuarat malam tadi tidak membincangkan kerjasama dengan Umno dan PAS.

“Kita belum bincang. Kita serah pada mereka kalau mereka sokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri kita berterima kasih,” katanya.

Ahli jawatankuasa tersebut Rafiq Naiza Mohideen berkata kesemua ahli Parlimen Bersatu akan menunjukkan sokongan mereka sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agung esok.

Bersatu mempunyai 26 ahli Parlimen termasuk Dr Mahathir.

Dr Mahahir hari ini meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan sebagai pengerusi parti, sehari selepas pemimpin partinya berhimpun dengan pemimpin PAS, Umno dan sekumpulan lagi ahli Parlimen.

Kumpulan tersebut menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana meneri sehingga akhir penggal dan sekali gus menolak peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar, Dr Mahathir tidak terlibat dalam gerakan mahu menjatuhkan Pakatan Harapan dengan mewujudkan kerajaan gabungan yang baharu.

Katanya, nama Dr Mahathir digunakan oleh orang dalam dan luar parti sedangkan ahli Parlimen Langkawi itu tiada peranan dalam usaha terseut.

“Beliau sangat jelas (pendiriannya), tidak mungkin untuk beliau bekerjasama dengan sesiapa yang ada kaitan dengan rejim lalu,” katanya.

Peletakan jawatan Dr Mahathir hari ini sekali gus menamatkan hayat kerajaan Pakatan Harapan.

Yang di-Pertuan Agong pada petang ini menerima peletakan jawatan Dr Mahathir, yang dilantik semula sebagai perdana menteri interim. – 24 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen