Trump, Putin akan bertemu di Vietnam, bincang isu Syria dan Korea


Vladimir Putin dan Donald Trump akan berpeluang membincangkan situasi di Syria dan Semenanjung Korea serta hubungan dua hala mereka dalam satu pertemuan di Vietnam di luar sidang kemuncak APEC. – Gambar AFP, 9 November, 2017.

PRESIDEN Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan berpeluang membincangkan situasi di Syria dan Semenanjung Korea serta hubungan dua hala mereka dalam satu pertemuan di Vietnam di luar sidang kemuncak APEC, lapor agensi berita TASS.

“(Kedua-dua pemimpin) mempunyai banyak perkara untuk dibincangkan (dalam pertemuan ini), termasuk isu utama antarabangsa daripada isu Syria sehinggalah Korea Utara dan sebagainya,” kata Pembantu Presiden Rusia, Yuri Ushakov, kepada pemberita.

“Terdapat banyak masalah (dalam hubungan) dua hala, hubungan dua hala telah mencecah tahap yang rendah.”

Menurut Ushakov, bagaimanapun Moscow dan Washington belum lagi mencapai kata sepakat berhubung rangka masa untuk pertemuan kedua-dua presiden.

“Kami telah bersedia untuk mengadakan satu pertemuan dua hala substantif berasingan yang mungkin telah dibincangkan beberapa kali,” kata Ushakov.

“Bagaimanapun, rangka masa untuk pertemuan sedemikian belum lagi dipersetujui.”

Beliau berkata kedua-dua pemimpin akan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu, dan “adalah munasabah mereka boleh bertemu dan membincangkan isu-isu tertentu.” – Bernama,  9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen