Armada mungkin jadi ‘fleet’, kata Dr Mahathir


Amin Iskandar

Kita akan lihat tentang perkara itu. Mungkin kita akan tukar Armada kepada ‘fleet’ atau yang lebih kurang macam tu, kata Dr Mahathir kepada pemberita di Putrajaya hari ini. Beliau mengulas mengenai kenyataan RoS yang mengatakan nama "Armada" tidak sah digunakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 November, 2017.

PENGERUSI Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata, partinya mungkin akan menukar nama sayap Pemuda partinya Armada kepada “fleet”, selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengatakan nama itu tidak sah digunakan.

“Kita akan lihat tentang perkara itu. Mungkin kita akan tukar Armada kepada ‘fleet’ atau yang lebih kurang macam tu,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

“Fleet” membawa maksud armada di dalam Bahasa Inggeris.

Hari ini RoS mengatakan istilah Armada tidak terkandung dalam Perlembagaan Bersatu.

Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata pengunaan istilah yang tiada dalam perlembagaan adalah melanggar perlembagaan parti itu dan Akta Pertubuhan 1966.

Justeru, kesalahan ini dilihat berat dan boleh menyebabkan pendaftaran sesebuah pertubuhan dibatalkan.

Surayati juga berkata sehingga ini RoS belum meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu yang menggunakan istilah “Armada” untuk jawatankuasa Pemuda.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih diteruskan bagi meneliti isu tersebut.

RoS sebelum ini menerima aduan daripada sebilangan ahli Bersatu termasuk ahli Armada yang dipecat serta aduan daripada ahli lain yang bertanyakan mengenai status pengurusan parti itu kerana mesyuarat agung sehingga kini belum dilaksanakan, katanya lagi. – 9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen