Umno tak bincang calon PM lain, kata Ku Li


SM Amin

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno tidak membincangkan calon perdana menteri bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad kerana ia akan ditentukan oleh Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2020.

UMNO tidak membincangkan calon perdana menteri baharu untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad, kata pengerusi jawatankuasa penasihat parti tersebut, Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, calon itu hanya akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas yakin ahli Parlimen tersebut mendapat sokongan daripada majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Tiada, Agong akan menentukan,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat Umno hari ini.

Beliau antara puluhan ahli Parlimen yang hadir ke ibu pejabat parti hari ini sewaktu spekulasi bertiup kencang bahawa parti itu bakal membentuk gabungan baharu untuk mengambil alih kerajaan.

Ketika ditanya, bekas menteri itu juga berkata beliau tidak menandatangani perakuan bersumpah yang didakwa menunjukkan Umno serta beberapa parti lain mampu mengambil alih kerajaan.

“Saya tidak tandatangan sebab sakit tangan,” katanya.

Akuan bersumpah itu didakwa menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir untuk terus menjadi perdana menteri dan sekali gus menolak Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada mengambil alih jawatan itu.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa parti tersebut dan juga Umno mempunyai jumlah kerusi cukup untuk memperolehi majoriti di Dewan Rakyat.

“Ya kita ada jumlah yang cukup iaitu 129 (ahli Parlimen). Petang ini kami akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” katanya.

Takiyuddin bagaimananapun tidak menjelaskan bagaimana jumlah itu diperolehi.

The Malaysian Insight juga tidak dapat mengesahkan sekiranya pemimpin PAS dan Umno benar-benar menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini seperti didakwa.

Satu kenyataan dari Pejabat Ketua Setiausaha Negara petang ini menyebut, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong juga berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu.

Kenyataan itu terbit selepas Dr Mahathir menghadap baginda di Istana Negara petang ini selepas mengumumkan peletakan jawatannya ekoran kemelut politik yang melanda Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut mengumumkan meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Presiden parti itu, Muhyiddin Yassin kemudiannya memaklumkan parti itu keluar daripada gabungan PH, yang menurutnya sudahpun diputuskan dalam mesyuarat Bersatu semalam.

PKR juga hari ini mengumumkan pemecatan timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali dan naib presiden Zuraida Kamaruddin.

Seterusnya, kedua-duanya mengumumkan keluar parti bersama sembilan lagi ahli Parlimen PKR, termasuk dua menteri dan seorang timbalan menteri dan menjadi ahli Bebas.

Ahli Parlimen berkenaan merupakan antara tokoh utama yang muncul dalam pertemuan dengan pemimpin Bersatu, PAS dan Barisan Nasional di Petaling Jaya semalam. – 24 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen