YANG di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri namun melantik beliau sebagai perdana menteri interim sehingga pelantikan perdana menteri baharu dibuat.
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri dan ahli Kabinet yang baharu dibentuk.
“Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima peletakan jawatan YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia.
“Bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dr Mahathir telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 1 petang hari ini.
Beliau kemudian menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pukul 5 petang sebelum dilihat meninggalkan Istana Negara pada pukul 6.20 petang.
Dr Mahathir juga hari ini meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu, tidak lama selepas menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.
Pada masa sama, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Dr Mahathir, 94, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei, 2018, selepas menerajui PH untuk menjatuhkan Barisan Nasional, yang beliau sifatkan sebagai kerajaan kleptokratik. – 24 Februari, 2020.
Komen