Seekor belalang dijumpai terperangkap dalam lukisan milik pelukis Vincent van Gogh.
Belalang itu ditemui secara tidak sengaja dalam salah satu siri catan bertajuk “Olive Trees” oleh pihak muzium di bandar Kansas, Amerika Syarikat.
Pengkaji di Muzium Seni Nelson-Atkins, Mary Schafer berkata, belalang itu berada bahagian bawah di atas kanvas itu ketika meneliti lukisan itu.
“Sebenarnya saya cuba untuk memahami lapisan-lapisan yang berlainan lukisan itu dan bagaimana ia dihasilkan. Ketika itulah saya terjumpa sebahagian tubuh belalang kecil itu,” katanya.
“Penemuan belalang ini mengejutkan kami dan mengubah cara pandang kami terhadap Van Gogh.”
Penemuan yang diumumkan minggu lalu itu secara langsung menggambarkan suasana ketika artis itu sedang berlatih menghasilkan catannya itu dalam keadaan yang berangin, cukup untuk menerbangkan rumput, habuk dan serangga.
“Aku mungkin dah tertangkap beratus lalat dan serangga atas keempat kanvas yang kamu akan lihat. Ini tak termasuk debu-debu dan pasir.
“…bila ada orang bawa (lukisan) ini melalui kawasan lapang dan berpagar untuk beberapa jam, akan ada yang terkena atau terlekat,” tulis Van Gogh kepada abangnya dalam surat tahun 1885 itu.
Tetapi Van Gogh bukanlah pembunuh serangga.
Paleo-entomologis Universiti Kansas, Michel Engel berkata kepada pasukan muzium itu bahawa beberapa bahagian tubuh belalang yang hilang itu, selain tiada tanda pergerakan dalam catan itu menunjukkan belalang itu telah mati bila terdampar di atas lukisan Van Gogh.
“Olive Trees” adalah sebahagian dari 18 siri catan Van Gogh yang disiapkan pada 1889 di Saint-Remy-de-Provence, Perancis, ketika artis itu berehat di rumah sakit jiwa.
Selain itu, pasir juga ditemui pada catan bertjuk “Seascape near Les Saintes-Maries-de-la-Mer” (1888), karya yang dipercayai dihasilkan di sebuah pantai Mediteranean. Lukisan itu kini berada di Muzium Van Gogh di Amsterdam.
Penemuan pasukan muzium Nelson-Atkins itu adalah sebahagian dari usaha mereka melihat dari sisi lain karya seni yang meliputi 104 karya Perancis.
Usaha itu melibatkan ramai kurator, pengkaji dan saintis, dengan menggunakan pelbagai alat termasuk x-ray, cahaya ultra-ungu, mikroskop dan lain-lain. – AFP, 9 November, 2017.
Komen