10 individu ditahan dipercayai terlibat Macau Scam


POLIS menahan 10 individu disyaki terlibat dalam penipuan pinjaman tidak wujud, ‘Macau Scam’ dan pembelian secara dalam talian menerusi beberapa serbuan di sekitar Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A. A Anbalagan berkata penahanan seorang wanita berusia 21 tahun di Butterworth, Seberang Perai Utara pada 20 Februari lepas membawa kepada penangkapan sembilan individu lain terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun itu.

“Pada 4 Disember lalu, seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan pengadu telah membuat laporan selepas mengalami kerugian sebanyak RM5,889.69 ekoran diarahkan oleh suspek lelaki untuk membuat pembayaran wang proses pinjaman dan perlindungan insurans.

Bayaran yang dilakukan adalah sebanyak dua kali kepada dua akaun berbeza sehinggalah pengadu merasakan ada sesuatu yang tidak kena lalu membuat laporan polis. Hasil siasatan polis berjaya menahan seorang wanita berusia 21 tahun yang merupakan pemilik akaun Maybank untuk menjalankan kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud,” katanya pada sidang media, di Balik pulau hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan polis mendapati salah seorang suspek adalah bekas pegawai bank yang telah berhenti kerja dipercayai menerima kad Mesin Teler Automatik (ATM) daripada dua suspek sebelum ia dijual kepada seorang lagi suspek untuk meneruskan kegiatan tersebut.

“Polis turut merampas 32 keping kad ATM daripada pelbagai bank dan sedang mengenal pasti pemilik kad ATM serta akaun bank terbabit. Kesemua tahanan direman selama empat hari sehingga hari ini.

Bagaimanapun, polis sedang memohon mahkamah untuk menyambung reman kesemua mereka bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Anbalagan berkata sebanyak 106 pemilik akaun telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 sepanjang tahun lepas.

“Sebanyak 20 pertuduhan pemilik akaun telah dituduh pada Januari hingga Februari tahun ini, manakala terdapat 80 pemilik akaun yang masih dikesan untuk diambil tindakan,” katanya.– Bernama, 24 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen