BN, PAS dakwa dapat majoriti bentuk kerajaan baharu


SM Amin

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika ditemui di ibu pejabat Umno hari ini mengesahkan perkara itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Februari, 2020.

PEMIMPIN BN dan PAS mendakwa memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan baharu dan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika ditemui di ibu pejabat Umno hari ini.

“Ya kita ada jumlah yang cukup iaitu 129 (ahli Parlimen). Petang ini kami akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” katanya.

Katanya, Ahli Parlimen BN dan PAS akan bergerak ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 5 petang ini.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah tiba di ibu pejabat parti pada 4.50 petang.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang komen kepada wartawan.

Barisan Nasional ketika ini mempunyai 42 kerusi di Dewan Rakyat sementara PAS 18 kerusi menjadikan jumlahnya campuran kedua-dua parti itu 60 kerusi. 

Ketika ditanya sama ada Dr Mahathir akan bersama ke Istana Negara petang ini, Takiyuddin berkata “Ya”.

Terdahulu pada tengah hari, Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri. Seterusnya, beliau turut mengumumkan meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin kemudiannya memaklumkan parti itu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan, yang menurutnya sudahpun diputuskan dalam mesyuarat parti itu semalam.

PKR juga hari ini mengumumkan pemecatan timbalan presiden parti itu Azmin Ali dan naib presiden Zuraida Kamaruddin yang juga menteri Kabinet.

Seterusnya, kedua-duanya mengumumkan keluar parti bersama sembilan lagi ahli Parlimen PKR, termasuk dua menteri dan seorang timbalan menteri dan menjadi ahli Bebas. – 24 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen