12 tertuduh kes sokong LTTE bebas


Kalidevi Mogan Kumarappa

Adun Seremban Jaya P Gunasekaran bercakap kepada media selepas dibebaskan daripada tuduhan kes LTTE di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Februari, 2020.

SEMUA 12 lelaki warga tempatan yang digugurkan pertuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi ini.

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Adun Gadek yang juga Pengerusi Exco Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34;  dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran, 60.

Ravindran Subramaniam, 31, anak kepada salah seorang tertuduh, B Subramaniam berkata proses pembebasan sedang berlangsung di mahkamah.

“Saya difahamkan Gunasekaran sudah dibebaskan dan pada masa ini, tertuduh kedua sedang menjalani proses pengurusan kes untuk dibebaskan di mahkamah tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semua 12 tertuduh itu dijangka akan dibebaskan hari ini selepas melalui prosedur undang-undang yang sama seperti Gunasekaran.

Gunasekaran dan Saminathan yang juga ahli DAP ditahan bersama 10 lagi tertuduh pada Oktober tahun lalu dan didakwa atas kesalahan memiliki bahan berkaitan LTTE, termasuk gambar anggotanya.

Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) yang tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, dan mereka didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

Mereka dibebaskan susulan Peguam Negara Tommy Thomas pada 21 Februari lalu mengarahkan pertuduhan ke atas 12 individu itu dihentikan serta merta.

Tommy berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan dilakukan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan dikenakan kepada mereka.

Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan berdasarkan undang-undang. – 24 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen