AKTIVITI di Solo dan hampir seluruh bandar di Indonesia seolah-olah terhenti seketika selama lebih sejam untuk menyaksikan satu-satunya anak perempuan Presiden Joko Widodo (Jokowi), Kahiyang Ayu dan pengarah firma hartanah, Bobby Nasution.
Lebih daripada 7,000 tetamu yang terdiri daripada orang kenamaan Indonesia menghadiri upacara itu manakala jutaan rakyat menonton melalui siaran televisyen.
Dengan harapan tinggi untuk menyaksikan majlis itu, beribu rakyat biasa daripada Solo, Bandung, dan bandar lain di Jawa Barat telah turun menghadirkan diri ke balai besar Graha Saba Buana, tempat berlangsungnya majlis perkahwinan itu.
Antara tetamu-tetamu yang hadir adalah Duta Singapura ke Indonesia, Anil Kumar Nayar dan isterinya, Peck See, anggota kabinet Jokowi, bekas presiden Megawati Sukarnoputri dan Susilo Bambang Yudhoyono serta isteri kepada bekas presiden Abdurrahman Wahid, Sinta Nuriyah.
Para tetamu termasuk pemimpin agama dan ahli politik seperti Speaker Dewan Setya Novanto, Gabenor Jakarta Anies Baswedan, ketua parti Nasdem Surya Paloh, ahli perniagaan Chairul Tandjung dan chef selebriti Arnold Poemomo.
Keluarga Jokowi memakai baju tradisional Jawa ketika mereka menyambut tetamu.
Jokowi dan anak lelakinya, Gibran Rakabuming, 29, dan Kaesang Pangarep, 22, memakai baju “beskap” manakala isteri Jokowi, Iriana memakai baju kebaya.
Pengantin lelaki dan perempuan tiba secara berasingan menaiki kereta kuda, diiringi oleh pengawal presiden.
Kawalan keselamatan sangat ketat, dengan 5,500 anggota polis dan tentera ditempatkan di sekitar bandar, di mana sambutan perayaan dan upacara tradisional lain ditunda bermula hujung minggu lalu hingga semalam.
Kahiyang dan Bobby yang berusia 26 tahun secara rasminya berkahwin pada 9 pagi waktu tempatan, dengan Timbalan Presiden Jusuf Kalla sebagai saksi bagi pengantin perempuan sementara Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Darmin Nasution menjadi saksi bagi pihak lelaki.
“Terima kasih tuan-tuan, puan-puan, saudara mara dan rakan rakan, atas doa dan restu bagi perkahwinan Kahiyang Ayu dan Muhammad Bobby Afif Nasution. Semoga Allah memberkati doa kita,” kata Jokowi dalam ucapan majlis itu.
Bekas presiden Dr Yudhoyono yang hadir bersama anaknya memuji cara tradisional yang diterapkan ketika majlis perkahwinan tersebut.
“Ini adalah cara untuk meraikan dan menghormati budaya kita.
“Tahniah kepada kedua-dua pengantin, semoga mereka kekal abadi dan diberkati, dan tahniah juga kepada Pak Jokowi dan Ibu Iriana,” tambah Yudhoyono.
Pasangan tersebut bertemu buat kali pertama pada 2015 ketika mereka belajar di Universiti Pertanian Bogor di Jawa Barat.
Mereka dikatakan telah bercinta selama lebih kurang setahun. – 9 November, 2017.
Komen