Azmin Ali pengkhianat sebenar, kata orang Anwar


Mohd Farhan Darwis

Ahli MPP PKR Abdullah Sani Abdul Hamid ketika ditemui media selepas majlis solat hajat dan sesi tazkirah di kediaman Presiden PKR Anwar Ibrahim di Segambut malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Februari, 2020.

AHLI Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa timbalan presiden partinya, Mohamed Azmin Ali adalah pengkhianat sebenar dalam parti itu.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata tindakan membentuk kerajaan tanpa melalui proses pilihan raya juga merupakan pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

“Inilah pengkhianat yang sebenar, yang mana telah mengkhianati amanah rakyat, memberi sokongan kepada Pakatan Harapan, dan mereka telah masuk ke pintu belakang, apa punya celaka mereka ini.

“Saya pasti pengkhinat itu akan dihukum oleh rakyat yang beri mandat kepada kita,” kata Abdullah Sani.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis solat hajat dan sesi tazkirah di kediaman Presiden PKR Anwar Ibrahim di Segambut.

Ketika ditanya siapa pengkhianat yang di maksudkannya, Abdullah Sani menyebut nama Azmin Ali.

Anwar dalam sesi soal jawab semasa tazkirah itu mendakwa Bersatu dan beberapa ahli PKR telah mengkhianati Pakatan Harapan dan sedang berusaha untuk menggantikan kerajaan.

Beliau bagaimanapun berkata tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai hal itu selepas enam pemimpin parti politik mengadap Yang D-Pertuan Agong petang tadi.

“Sekarang ini kita tunggu dulu maklumat. Tetapi kita tahu ada percubaan untuk jatuhkan PH untuk tubuh kerajaan baru, dan melibatkan bekas rakan-rakan kita dalam Bersatu dan segelintir yang khianat daripada PKR.

“Kita tunggu dulu, mereka ada mengadap Yang Di-Pertuan Agong petang tadi..belum ada pengumuman,” katanya pada penghujung kuliah agama di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Kira-kira 300 penyokong Anwar hadir ke kediamannya untuk majlis bacaan Yasin dan solat hajat, selepas menunaikan solat Maghrib.

Kehadiran penyokong Anwar ke kediamannya itu rentetan laporan mendakwa akan berlaku pertukaran kerajaan hari ini.

Majlis itu turut disertai Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor yang menyampaikan kuliah agama selepas solat Maghrib.

Antara pemimpin PKR yang kelihatan hadir termasuklah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang Fuziah Salleh, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, dan Timbalan Menteri Pelancongan Muhammad Bakhtiar Wan Cik, serta Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew. – 23 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen