PAS cuma dijemput makan, kata Tuan Ibrahim


Nabihah Hamid

Tuan Ibrahim Tuan Man antara pemimpin PAS yang hadir pada pertemuan dengan pemimpin kerajaan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Februari, 2020.

KEHADIRAN beberapa pemimpin PAS di Hotel Sheraton, Petaling Jaya malam ini adalah semata-mata untuk majlis beramah mesra bersama ahli Parlimen tidak kira dari kerajaan atau pembangkang, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah timbalan presiden PAS itu, tiada sebarang ucapan mahupun perbincangan dibuat pada majlis tersebut. 

“Malam ini saya hadir untuk majlis makan muafakat ahli Parlimen. Kita beramah mesra. Pelbagai parti datang. 

“Tiada ucapan ataupun sidang media dibuat,“katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Ketika ditanya mengenai motif majlis tersebut, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjawab beliau hanya memenuhi jemputan.

“Saya tak tahu. Hanya dijemput (majlis makan). Kami pun ada mesyuarat malam ini. Jadi balik awal,” katanya lagi. 

Sejak petang tadi, beberapa pemimpin pembangkang dan kerajaan muncul di hotel tersebut yang menjadi lokasi mesyuarat Azmin Ali dan pengikut timbalan presiden PKR itu.

Dua ahli Parlimen Umno Tengku Adnan Mansor dan Ismail Sabri Yaakob antara yang mula hadir di hotel tersebut sejak jam 7 petang ini.

Para pemimpin berkenaan muncul di ketika spekulasi yang tentang dakwaan penubuhan kerajaan baharu melibatkan parti pembangkang semakin hangat diperkatakan.

Ia susulan beberapa mesyuarat berasingan yang dilangsung hari ini membabitkan beberapa parti kerajaan dan pembangkang. – 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen