Tak perlu panik kerana PH kekal, kata Mat Sabu


Zaim Ibrahim

Presiden Amanah Mohamad Sabu mengulas spekulasi mengenai dakwaan penubuhan kerajaan baharu melibatkan parti pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2020.

AMANAH tidak perlu panik untuk mengadakan mesyuarat mesyuarat bagi membincangkan dakwaan mengenai penubuhan kerajaan baharu, kata presidennya Mohamad Sabu.

Beliau yakin kerajaan Pakatan Harapan kekal berjalan seperti sedia kala dan menganggap Dr Mahathir Mohamad menghadap Yang di-Pertuan Agong sebagai satu perkara biasa.

“Spekulasi macam-macam boleh sebut. Tun berjumpa dengan Yang-DiPertuan Agong perkara biasa.

“Saya tidak dapat apa-apa maklumat (tentang pemimpin lain di Istana Negara). Sebelum dapat maklumat, saya tidak mahu komen kerana saya ada di sini.

“Amanah tidak perlu mesyuarat, tiada apa-apa yang panik. PH akan terus berjalan,” tambahnya kepada pemberita di Pulau Pinang.

Beliau mengulas spekulasi mengenai dakwaan penubuhan kerajaan baharu melibatkan parti pembangkang.

Spekulasi itu timbul ekoran beberapa mesyuarat berasingan yang dilangsung hari ini membabitkan beberapa parti kerajaan dan pembangkang.

Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi di Petaling Jaya, tidak jauh dari lokasi mesyuarat Azmin Ali bersama pemimpin PKR yang setia dengan timbalan presiden parti itu.

Majlis Tertinggi Umno juga mengadakan mesyuarat berasingan di ibu pejabat parti itu dan Gabungan Parti Sarawak pula mengadakan pertemuan bersama ahli Parlimen parti itu di KL.

Dr Mahathir kemudiannya dilaporkan berada di Istana Negara petang ini, didakwa bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ia dinafikan Pejabat Perdana Menteri yang turut menyatakan Dr Mahathir berada di rumah dan tidak akan membuat sidang media di Petaling Jaya seperti didakwa.

Turut dilaporkan hadir ke Istana Negara adalah pemimpin beberapa parti. – 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen