Zahid Hamidi ke Istana Negara


SM Amin

Satu sumber Umno berkata, antara yang hadir adalah presidennya Zahid Hamidi yang bergegas ke Istana Negara sekitar jam 6 petang sebaik selepas bermesyuarat dengan pemimpin partinya. – Gambar EPA, 23 Februari, 2020.

PARA pemimpin utama beberapa parti hadir ke Istana Negara petang ini sewaktu spekulasi memuncak bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Satu sumber Umno berkata, antara yang hadir adalah presidennya Zahid Hamidi yang bergegas ke Istana Negara sekitar jam 6 petang sebaik selepas bermesyuarat dengan pemimpin partinya.

“Presiden terus ke istana lepas habis mesyuarat tadi,” kata sumber yang enggan memberi perincian lanjut.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri menyebut, Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengadakan sebarang sidang media pada malam ini di Petaling Jaya.

Sumber berkenaan menafikan khabar angin bahawa perdana menteri akan mengadakan sidang media di sebuah hotel yang menjadi lokasi mesyuarat timbalan presiden PKR Azmin Ali dan pengikutnya.

“Tiada pengumuman. Tiada sidang media hari ini,” kata sumber kepada pemberita dalam satu kenyataan melalui WhatsApp.

Khabar angin mengenai sidang media itu tular selepas Bersatu, Umno, Gabungan Parti Sarawak dan kumpulan Azmin Ali dalam PKR masing-masing mengadakan mesyuarat berasingan hari ini.

Mesyuarat terbabit dipercayai berkait dengan keputusan Majlis Presiden PH pada Jumaat lalu untuk tidak menetapkan tarikh bagi Dr Mahathir menyerahkan kuasa kepada penggantinya. – 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen