Umno adakan mesyuarat khas


SM Amin

Umno mengadakan mesyuarat khas petang ini susulan keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH yang tidak menetapkan tarikh kepada Dr Mahathir Mohamad untuk berundur dari jawatan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2020.

MAJLIS Tertinggi (MT) Umno mengadakan mesyuarat khas hari ini dipercayai berkait dengan peluang parti itu untuk menyertai kerajaan pada masa depan.

Mesyuarat bermula jam 4 petang ini susulan keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang tidak menetapkan tarikh kepada Dr Mahathir Mohamad untuk berundur dari jawatan perdana menteri.

Rata-rata ahli Majlis Tertinggi Umno yang ditemui mengatakan tidak mengetahui agenda mesyuarat khas yang diadakan di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.

“Saya tidak tahu (agenda), ini mesyuarat khas. Kalau mesyuarat MT biasa kita tahu,” kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Beliau merupakan antara ahli Majlis Tertinggi Umno yang mula tiba di ibu pejabat Umno sejak jam 3 petang.

Sebahagiannya bergegas ke mesyuarat itu dari Pemukiman Muafakat Nasional bersama pemimpin PAS yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah di Janda Baik.

Pemukiman Muafakat Nasional selama dua hari bermula semalam itu dihadiri pimpinan tertinggi kedua-dua parti Umno dan PAS.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata, arahan dikeluarkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pagi ini untuk memanggil semua ahli Majlis Tertinggi untuk bermesyuarat petang ini.

“Presiden keluarkan arahan pagi tadi. Saya diminta untuk beritahu semua ahli MKT, jadi kita adakan mesyuarat MKT Khas, apa bendanya saya tidak tahu, kena tunggu selepas mesyuarat nanti,” katanya.

Ketika ditanya sama ada mesyuarat khas ini berkait dengan mesyuarat politik parti-parti lain hari ini Annuar tidak memgesahkan perkara itu namun maklum dengan mesyuarat-mesyuarat tersebut.

“Kita dengar secara jauh ada mesyuarat parti-parti lain,” katanya.

Pagi tadi, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bermesyuarat di ibu pejabatnya di Petaling Jaya dan beberapa pemimpin PKR yang setia dengan timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali mula berhimpun di sebuah hotel berdekatan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Ketua Menteri Abang Johari Abang Openg juga bermesyuarat dengan ahli parlimen partinya di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini. – 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen