AS akan adakan latihan ketenteraan di Semenanjung Korea


Kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan ketika di Busan, Korea Selatan pada 21 Oktober. Dua lagi kapal pengangkut pesawat akan turut menjalani latihan ketenteraan bermula Sabtu hingga Selasa depan, bersamaan dengan misi lawatan Presiden AS Donald Trump ke Asia. – Gambar oleh EPA, 9 November, 2017.

TIGA kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) akan bergabung untuk menjalani latihan ketenteraan di Pasifik Barat, ketika Presiden AS Donald Trump dalam misi lawatan ke Asia, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Angkatan Tentera AS berkata, pada Khamis tiga kapal itu terdiri - USS Ronald Reagan, USS Nimitz dan USS Theodore Roosevelt - akan menjalani latihan bermula Sabtu hingga Selasa depan. 

Latihan yang menggabungkan tiga buah kapal termasuk kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear itu, kali pertama dikendalikan AS di perairan tersebut sejak 2007.

Tindakan sedemikian disifatkan sebagai satu langkah persediaan terhadap ancaman nuklear Korea Utara dan ketegasan China berhubung isu di Laut China Selatan.

“Latihan melibatkan dua kapal pengangkut pesawat jarang dapat diadakan apatah lagi untuk membabitkan tiga buah kapal,” kata Komander Armada Pasifik AS, Adm Scott Swift dalam satu kenyataan.

Menurut sumber pertahanan, latihan akan diadakan di perairan secara relatifnya hampir dengan Semenanjung Korea.

Selain itu, latihan bersama Angkatan Laut Korea Selatan di Laut Timur juga dijangka diadakan. – Bernama, 9 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen