Mampukah Pakatan tempuh cabaran masa depan?


“TERPULANGLAH kepada saya menentukan peralihan kuasa.” 

Itulah jawapan ringkas, pendek dan jelas diulang-ulang oleh Dr Mahathir Mohamad kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam kelmarin.

Ia sekali lagi meredakan spekulasi dan hingar-bingar isu peralihan kuasa perdana menteri. Apa yang penting, PH sudah buat keputusan yang sebaik mungkin menggunakan platform parti.

Tetapi, sejauh manakah keputusan mesyuarat PH akan dipegang pemimpin PH secara bersama dan konsisten? Apa yang akan terjadi selepas ini? 

Tentunya ini satu persoalan yang tertanam dalam pemikiran rakyat.

Mesyuarat menyatukan PH

Mesyuarat tersebut dikatakan agak ‘hangat’ kerana perbezaan pendapat. Bersatu didakwa akan keluar PH sekiranya Dr Mahathir diasak untuk letak jawatan. Amanah dan DAP pula mahu PH memutuskan tarikh peralihan kuasa perdana menteri.

Tetapi perbalahan ini tidak lagi menjadi isu selagi kepimpinan PH dan ahlinya memegang penuh keputusan kelmarin tanpa belah-bahagi. 

Mesyuarat Majlis Presiden PH lebih berkesan dan berkualiti jika dibandingkan dengan mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat (PR) suatu ketika dahulu sehingga gabungan parti itu dibubarkan pada 2015. 

Ini satu perkembangan positif gabungan parti PH yang komited untuk kekal sepakat menerajui negara. Ia merupakan satu ‘kelebihan’ apabila gabungan ini dapat bertahan hampir dua tahun menerajui negara, menafikan tohmahan pembangkang yang mengatakan PH tidak stabil. 

Semalam, PAS membatalkan hasrat mereka untuk membawa usul undi percaya perdana menteri setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan sebulat suara menyokong peralihan kuasa secara konsensus.

Inilah hasil kekuatan PH dalam membuat keputusan bersama dan kini mereka bertanggungjawab menguatkan kepimpinan bagi menempuh cabaran mendatang, khususnya menjelang sidang parlimen yang dibuka pada 9 Mac 2020.

Sejauh mana pembangkang menghormati lawannya pun satu perkara yang tidak dapat diduga.

PH juga perlu sedar, keputusan yang berkecamuk hanya menjadi habuan buat pembangkang meneruskan ‘kerajaan pintu belakang’. PH akan bertambah celaru sekiranya terdapat pemimpin dan ahli bermuslihat membelakangi keputusan Majlis Presiden PH.

Peralihan kuasa lancar dan rapi

Saya cuma mengharapkan satu keajaiban berlaku di Malaysia. Suatu ketika nanti, apabila Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim bersetuju untuk peralihan kuasa, ekonomi negara kembali pulih dan politik bergerak ke arah matang. 

Tetapi saya sedar, ia satu perkara sukar buat masa ini. Pertumbuhan ekonomi pada tiga bulan terakhir 2019 merudum kepada 3.6 peratus antara unjuran paling rendah dalam tempoh 10 tahun. Kekusutan ini ditambah dengan wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi dunia. 

Apa yang lebih utama untuk dibincangkan di semua peringkat PH adalah strategi dan perkara yang perlu diteliti sebelum peralihan kuasa berlaku. 

PH perlu mula membincangkan tentang perubahan polisi kerajaan dalam memastikan peralihan kuasa berlaku dengan baik. Perubahan  kepimpinan akan menyebabkan sesuatu dasar kerajaan berubah dan ini akan memberi impak langsung kepada pentadbiran negara.

Perubahan dasar pendidikan untuk menggunakan semula PPSMI selepas Maszlee Malik meletak jawatan merupakan satu contoh terdekat kesan perubahan pemimpin dalam kerajaan. Keputusan ini mendapat pelbagai reaksi dan turut membebankan warga pendidik. 

Itu baru tukar menteri, tetapi bagaimana pula kesan dasar kerajaan apabila peralihan kuasa perdana menteri berlaku?

Mampukah PH?

PH hanya tinggal dua hingga tiga tahun sekiranya Dr Mahathir memberi jawatan perdana menteri kepada Anwar. Ini merupakan satu tempoh yang pendek dan PH perlu bergerak pantas dalam melaksanakan pembaharuan. 

Beberapa parti dalam PH menghadapi pemilihan parti sekarang atau masa hadapan, janganlah cuba beretorik sehingga memberi kesan buruk kesepakatan PH. 

Jika tidak, mereka terpaksa menanggung risiko menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15. Tidak lama lagi, PH berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang sedang dicongak oleh Abang Johari Openg dan GPS. 

PH Sarawak kini agak kelam kabut selepas beberapa partinya menolak penyelaras parlimen yang diumumkan baru-baru ini.  Mampukah PH berhadapan dengan PRN Sarawak dalam keadaan sebegini?

Mampukah sentimen rakyat, motivasi kemenangan PRU14 masih relevan dalam mengubah lanskap bumi kenyalang? 

Atau ia akan bertambah parah seperti kekalahan PH dalam beberapa pilihan raya kecil lepas? – 23 Februari, 2020.

* Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen