Anwar, Dr Mahathir pecah kebuntuan mesyuarat Majlis Presiden, kata sumber


Chan Kok Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mula-mula nyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat Majlis Presiden PH, Jumaat lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2020.

MESYUARAT Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berlangsung dalam suasana tegang pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim memecah kebuntuan dan beri penyelesaian kepada mesyuarat yang berakhir lewat malam itu, kata tiga sumber yang turut hadir.

“Boleh biarkan saya buat keputusan bila hendak letak jawatan?” Kata Dr Mahathir kepada pemimpin PKR, DAP dan Amanah.

“Kalau percayakan saya, kamu akan biar saya putuskan.”

Ketika itu, Anwarlah yang mula-mula sekali menyokong pengerusi PH dan Bersatu itu.

“Saya berkeyakinan penuh terhadap Dr Mahathir dan akan menyokongnya dalam isu ini,” kata presiden PKR berusia 72 tahun itu.

Menurut sumber, pada mesyuarat itu Anwar juga berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap ahli PKR yang mempersoalkan kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

“Saya mohon maaf kerana terlalu berlembut sebelum ini. Dalam salah satu mesyuarat parti, kita juga bincangkan satu atau dua ahli Parlimen yang buat begitu secara terbuka,” katanya.

Kata sumber lagi, Anwar mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman yang berkata tidak seorang pun pemimpin dari Bersatu yang mempersoalkan Anwar menjadi perdana menteri kelapan. Ini berbeza dengan beberapa pemimpin PKR yang mendesak isu peralihan kuasa, kata Syed Saddiq.

Semasa mesyuarat Majlis Presiden Jumaat lalu, Muhyiddin Yassin, Syed Saddiq dan Dr Radzi Jidin dari Bersatu dan Dr Hatta Ramli dari Amanah berkata tidak adil jika Dr Mahathir terus diasak oleh pemimpin PH sendiri mengenai tarikh peralihan kuasa.

Menurut mereka, apa yang penting Dr Mahathir dibenarkan menyelesaikan kerja-kerjanya untuk memulihkan ekonomi negara.

Dr Mahathir berkata walaupun sebelum ini telah berjanji akan melepaskan jawatan selepas dua tahun, beliau tidak menyangka terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan.

Dan pada ketika inilah Pengarah Komunikasi amanah Khalid Abdul Samad mengesyorkan mungkin sudah tiba masanya Anwar menyertai Kabinet.

“Anwar boleh jadi menteri kewangan, menteri pendidikan, atau pun timbalan perdana menteri. Paling elok kalau kita umum Anwar sertai Kabinet sebelum ulangtahun kedua (9 Mei).

“Elok kalau Anwar masuk sekarang kerana ini akan memastikan kesinambungan,” kata beliau yang juga menteri Wilayah Persekutuan.

Cadangan sama pernah diutarakan pada mesyuarat Majlis Presiden, 23 November lalu. 

Menurut sumber lagi, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali antara yang pertama mencadangkan supaya Dr Mahathir menghabiskan penggal.

Pemimpin Bersatu pada malam itu hanya mencadangkan supaya membiarkan Dr Mahathir memutuskan bila perlu melepas jawatan.

Ini bertentangan dengan laporan sebuah portal berita yang menyebut Bersatu mengugut untuk keluar dari PH, kata sumber.

“Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya hanya kata Bersatu akan tentukan sendiri jika Majlis gagal capai kata sepakat.

“Laporan itu juga salah bila kata Muhyiddin sokong gesaan supaya satu tarikh peralihan kuasa ditentukan. Dia cuma cakap Dr Mahathir hendaklak diberi peluang buat keputusan.”

Mesyuarat yang pada mulanya tegang, reda selepas Anwar menyokong Dr Mahathir supaya diberi kepercayaan.

Sekurang-kurangnya, reda buat masa ini. – 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen