Aishah dan kisah pengemis sunti di jalanan


Zainal Rashid Ahmad

PADA Disember 2012, lagu Selamat Malam Rohingya diterbitkan TV Alhijrah sebagai klip video kempen meningkatkan kesedaran awam mengenai tragedi pembunuhan umat Islam di Rakhine, Myanmar.

Lagu gubahan Syed Amran Al-Yahya ini muncul di tengah krisis penghapusan etnik oleh junta tentera Myanmar terhadap penduduk muslim Rohingya.

Pembunuhan massa di Rakhine satu malapetaka yang memalukan selepas Myanmar mendakwa negara itu kini menuju proses demokrasi di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi.

Malah, lebih menyakitkan hati, Suu Kyi – Kanselor Negara Myanmar dan penerima Anugerah Nobel Keamanan 1991 – menafikan sebarang salah laku junta tentera terhadap penduduk Islam di Rakhine.

Lagu Syed Amran dihasilkan sebagai klip video dengan himpunan visual dan foto pembunuhan lebih 1,000 penduduk Islam pada September hingga November 2012.

Angka kematian penduduk Rohingya ketika krisis itu meningkat hari ke hari sepanjang enam bulan yang penuh kekejaman. Selain junta tentera, penduduk awam anti Rohingya ikut melaku pelbagai jenayah pembunuhan dan membakar kediaman masyarakat Islam.

Itulah juga tragedi yang menyebabkan hampir 800 ribu penduduk Islam Rakhine lari meninggalkan kampung halaman dan menyeberang masuk ke Bangladesah.

Rakhine wilayah diduduki minoriti 1.4 juta penduduk Rohingya.

Sebelum dihalau secara kejam dalam kejadian pembantaian nyawa dan pembakaran rumah, etnik Muslim Rohingya mendiami petempatan di Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyaukta.

Malaysia mengkritik tegas kekejaman ini. Suara bantahan dan kemarahan dinyatakan secara lantang oleh pemimpin politik dan NGO.

Ultras Malaya turut memprotes. Nyanyian “chant” pro Rohingya bergema di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November 2018.

Siapa Aishah budak Myanmar

Aishah berusia lapan tahun pada Disember 2012. Aishah bukan pelarian politik dari Myanmar ketika kejadian pembunuhan etnik itu berlaku.

Aishah lahir di Malaysia. Cuma, ayah dan ibunya pelarian Rohingya yang tiba lebih awal dan memasuki Malaysia.

Sebelum tregedi pembunuhan etnik secara massa pada 2012, masyarakat Islam Rohingya sudah lama didikriminasi di Rakhine.

Etnik Rohingya tidak disenarai sebagai warganegara. Walaupun fakta sejarah membuktikan masyarakat Rohingya sudah menduduki Rakhine selama 800 tahun.

Namun, junta tentera menjadikan etnik Islam ini sebagai warga tanpa negara di bumi Myanmar yang turut dihuni 134 etnik lain.

Selain Rohingya yang ditindas, etnik Karen, Chin dan Mon diperangi junta tentera sejak tahun 1948.

“Saya lahir di Kuala Lumpur. Ibu bapa sudah lama di sini,” kata Aishah pada 2012.

Pada Disember 2019 lalu, tujuh tahun selepas mewawancara Aishah di depan Bangunan Sogo, saya menemuinya sekali lagi di depan Plaza Bukit Bintang.

Selapas tujuh tahun, Aishah kini gadis sunti berusia 15 tahun.

Tubuhnya kurus tinggi; memakai tudung warna hitam serta kemeja lusuh dan berseluar khakis cabuk.

Dia masih Aishah yang sama seperti tujuh tahun lalu, anak Myanmar yang mengemis sambil menjual surah Yassin.

Cuma bezanya, dia kini bersama dua adik lelakinya.

Dia sudah lupakan saya. Sebenarnya, antara tahun 2012 hingga 2019, saya kerap melihat Aishah mengemis di sekitar Sogo dan Bukit Bintang.

Aishah tumbuh di depan mata saya dari seorang kanak-kanak hingga menjadi gadis sunti.

Saya sentiasa minum kopi setiap petang hujung minggu di The Loaf Sogo (sekarang Pappa Rich). Tiap Sabtu atau Ahad, saya akan melihat Aishah membesar.

Saya juga melihatnya dari meja kafe Gloria Jeans di Bukit Bintang atau ketika merayau pada malam hari di depan McDonalds atau KFC Bukit Bintang.

Aishah yang dulunya solo kini mengemis bersama dua adiknya.

Sejak sebelum 2012, Aishah antara puluhan kanak-kanak Myanmar yang lahir di Malaysia tetapi membesar sebagai pengemis di jalanan Kuala Lumpur.

Pada 2012, rakaman temubual Aishah tidak dimasukkan ke klip video lagu “Selamat Malam Rohingya” kerana statusnya sebagai kanak-kanak.

Pada usia dibawah 16 tahun, Aishah dilindungi oleh Akta Perlindungan Kanak-kanak dari manipulasi media massa.

Sekalipun untuk tujuan baik, media dilarang menyiarkan wajah atau kenyataan kanak-kanak. Apa lagi bagi isu yang mempunyai impak keselamatan, emosi dan maruah diri.

Aishah versi pertemuan Disember 2019

Pada malam minggu Disember tahun lalu, saya merayau di sekitar Bukit Bintang. Menonton pelbagai grup buskers mengadakan persembahan.

Malam minggu Bukit Bintang yang sarat dengan manusia. Selain pelbagai kumpulan muzik jalanan mengadakan persembahan, Bukit Bintang dipenuhi pelancong asing.

Ketika duduk berdiri di seberang jalan dan melihat Bob Sentuhan Buskers sedang menyanyi di depan KFC, saya nampak Aishah.

Segera saya lambaikan tangan. Bau aroma jagung bakar menyemarak di sebelah saya dengan seorang pendatang Indonsia melaungkan: “Jagung bakar…. jagung bakar….”

Aishah menyeberang jalan; kurus dan nampak keletihan.

Dia terus menghulurkan surah Yassin; tindakan biasa yang dilakukan tanpa perasaan. Wajahnya lesu dan nampak bosan dan kurang senang dengan tindakan perlahan saya menghulurkan wang.

“Sudah makan?” Tanya saya.

Dia hanya menundukkan muka. Dua adiknya muncul dan mengitari saya. Turut menghulurkan surah Yassin tanda mahukan wang.

“Jom makan dulu, pak cik belanja,” kata saya.

Ketiga-tiga beradik itu seperti tidak peduli; atau sengaja enggan memahami apa yang diungkapkan.

“Makan,” kata saya sambil menunjukkan ke arah jagung bakar.

Adik lelakinya nampak mula tersenyum. Saya terus memesan tiga jagung bakar.

“Lepas makan saya beli Yassin,” kata saya.

Bungkusan jagung bakar saya pegang dan kami berempat berjalan ke kafe Gloria Jeans.

Saya letih, mahu balik tidur

Kami duduk berborak di Gloria Jeans. Dua adik lelaki Aishah sangat menikmati hidangan carbonara. Aishah masih duduk termenung dan menanti jagung bakarnya sedikit sejuk.

Minumannya tidak berusik.

“Setahu pakcik dan dekat sepuluh tahun kamu di jalanan,” kata saya.

Aishah memandang dengan wajah curiga.

“Tak bahayakah sudah besar begini masih merayau di jalanan?” Tanya saya lagi.

“Kami kena kerja, kena cari duit. Mak ayah bukan ada kerja tetap,” jawab Aishah.

Saya rasa lega kerana setelah “moody” sejak awal tadi, sekarang Aishah berbual.

“Kenapa mak ayah tak kerja?” Tanya saya.

“Orang sini kata kami pendatang haram,” jawabnya dengan nada sangat letih.

“Berapa boleh dapat kalau sehari mengemis?” Cara saya kembali totok jadi wartawan.

Sah. Aishah tidak gembira disoal siasat begitu. Wajahnya bengang.

“Dapatlah. Kadang-kadang RM100. Kadang-kadang RM50 saja,” jawabnya sinis.

Saya terkejut: “Dari siang hari di Sogo sampai 12 malam di sini, hanya dapat RM50 saja?”

Wajah Aishah bungkam. Dia meneguk minuman dan mula memamah jagung bakar.

“Orang dah meluat tengok kami. Sejak kecil sampai sekarang asyik minta duit,” katanya.

Saya mendiamkan diri.

“Sekarang orang maki-maki kalau kami macam paksa mereka beri wang,” kata Aishah dan suara sangat letih.

Sebenarnya saya sudah lama perasan. Dari meja luar di The Loaf Sogo, saya boleh lihat bagaimana orang tidak peduli lagi pada tiga kanak-kanak Rohingya ini.

Mereka seperti halimunan. Stigma pendatang Myanmar malas bekerja satu realiti yang mempengaruhi minda Malaysia.

Apa lagi ada mitos moden yang menuduh, pengemis Rohingya hidup mewah dengan menjaja surah Yassin.

“Sekarang masih tinggal di Bangsar?” Tanya saya.

“Duduk sana-sini, pakcik. Kadang-kadang balik rumah keluarga di Jalan Ipoh. Tapi kalau letih sangat kami tidur saja sambil bersandar di tepi jalan. Pagi-pagi baru balik,” kata Aishah.

“Tak sekolah?” Tanya saya.

Wajah Aishah jadi lemah dan bungkam.

“Saya letih. Pakcik bagilah kami RM50. Saya nak balik tidur. Dah dua minggu kerja siang malam tapi tak dapat duit. Orang tak suka budak remaja macam saya jadi pengemis,” keluhnya dengan mata yang merah tanda mengantuk.

Saya faham rasa sebal Aishah. Itu rasa sebal semua anak remaja Rohingya yang membesar di jalanan. Walaupun lahir dan membesar di Malaysia, tetapi melalui hidup sebagai kanak-kanak pendatang asing.

Malah, satu yang memalukan apabila terpaksa mengemis dari usia kanak-kanak hingga remaja.

Pendatang Myanmar sama ada yang memegang kad UNHCR atau pendatang tanpa izin tidak dibenarkan bersekolah dan bekerja secara sah.

Pendatang Rohingya tidak menerima apa-apa layanan istimewa, kecuali diizinkan sepasang kaki untuk memijak bumi Malaysia.

Tidak seperti pendatang haram Yangon, Alias Mohamad, 100 ribu pendatang Myanmar di negara ini hidup sebagai halimunan.

Mereka terpaksa menjadikan jalanan sebagai tempat mencari makan.

Aishah pulang dengan wajah lesu. Walaupun saya sediakan servis e-pandu yang dilanggan dengan bayaran online.

Dia tetap tidak tersenyum walaupun menerima wang tunai RM100.

Rasa letih dan bosan serta perasan malu menjadi remaja yang mengemis sepanjang hari menyebabkan gadis sunti itu bingung, sebal dan bercelaru.

Aishah akan berada di jalan. Barangkali saya akan menemuinya sekali lagi sepuluh tahun nanti. Saya yakin - ceritanya tetap sama saja. – 23 Februari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen