Azlina Mehtab yakin dapat saingi Rina Harun


Zaim Ibrahim

Azlina Mehtab Mohd Ishaq bukan nama asing dalam politik di Pulau Pinang kerana beliau mula bergiat dalam Puteri Umno negeri dan menganggotai barisan pimpinan sayap itu di peringkat nasional, semasa sayap itu diterajui oleh Azalina Othman Said. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2020.

PEGUAM Azlina Mehtab Mohd Ishaq yang mencabar Rina Harun untuk jawatan ketua sayap Wanita Bersatu yakin beliau akan dapat sokongan daripada akar umbi yang mahukan perubahan.

Peguam di Pulau Pinang itu berkata, beliau yakin selepas mengadakan beberapa siri pertemuan dengan akar umbi sayap Srikandi Bersatu sebagai langkah awal berkempen.

Katanya, walaupun sudahpun mendapat banyak sokongan akar umbi Srikandi namun baginya Rina seorang tokoh yang sukar ditandingi.

Azlina mengaku beliau kalah dari segi populariti namun yakin hal itu tidak akan mempengaruhi keputusan pertandingan kelak.

“Jika diukur populariti, siapalah saya jika dibandingkan dengan pihak lawan. Saya tiada keupayaan menabur janji dan jawatan.

“Saya tiada kuasa untuk mengawal kementerian untuk keluarkan arahan kepada pihak tertentu. Saya hanya janjikan untuk ubahkan Bersatu menerusi misi dan visi saya, jika dipilih,” tambahnya.

Azlina menganggap dirinya seorang calon underdog yang berdepan calon yang lebih berpengaruh dan berkuasa.

“(Tetapi) saya percaya kepada rezeki dan yakin dengan (akar umbi) Srikandi yang inginkan perubahan kepimpinan. Kita tunggu dan lihat (keputusannya kelak),” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Jelas Azlina, setakat ini beliau mengambil inisiatif sendiri turun padang untuk bersama ahli Srikandi di seluruh Malaysia.

“Setakat ini, boleh dikatakan saya turun semua negeri sama ada turun untuk berkempen pilihan raya kecil, sembang santai bersama pimpinan Srikandi cawangan, bahagian ataupun negeri.

Rina Harun bersaing untuk mengetuai sayap Wanita di bahagian Sepang dan sebelum ini ketua Wanita Bersatu Setiawangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2020.

“Saya telahpun berjumpa peringkat bahagian Bersatu dari Perlis hingga ke Sabah.

“Sekarang ini saya sudah turun ke semua bahagian dan negeri. Sekiranya  menang, insya-Allah lagi kuat saya bekerja untuk semua. Ini janji saya,”  tegas beliau.

Beliau yang juga ahli lembaga pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia berkata beliau juga berpeluang bertemu pelbagai golongan sewaktu mempromosi kegiatan perbadanan itu.

Azlina bukan nama asing dalam politik di Pulau Pinang. Beliau mula bergiat dalam Puteri Umno negeri dan menganggotai barisan pimpinan sayap itu di peringkat nasional, semasa sayap itu diterajui oleh Azalina Othman Said.

Peguam itu juga aktif membantu golongan miskin, antaranya melalui Sekretariat Pengaduan dan Kebajikan Rakyat (Sepakat), yang ditubuhkan Umno Pulau Pinang.

Beliau keluar Umno pada 2016 selepas menganggotainya selama 10 tahun.

Azlina adalah satu-satunya pemimpin wanita yang memegang jawatan ketua bahagian bagi bahagian Kepala Batas, Pulau Pinang, sejak 2018.

Pada pemilihan sulung parti yang bermula minggu lalu, Azlina mempertahankan jawatan itu selepas menang tanpa bertanding.

Tidak seperti Azlina yang mendapat laluan mudah di bahagian, Rina bagaimanapun bersaing untuk mengetuai sayap Wanita di bahagian Sepang. Beliau sebelum ini ketua Wanita Bersatu Setiawangsa.

Pemilihan di Sepang dijadual berlangsung hari ini.

Persidangan dan pemilihan di peringkat bahagian pula diadakan serentak pada 18 April bagi memilih ahli Majlis Pimpinan Tertinggi. – 23 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen