Mesyuarat Majlis Presiden malam ini penting, kata Johari Abdul


SM Amin

Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul yakin pimpinan parti mampu menangani dengan baik isu peralihan kuasa yang berbangkit sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

MESYUARAT Majlis Presiden Pakatan Harapan malam ini penting untuk menentukan masa depan gabungan itu, kata Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul.

Beliau yakin pimpinan parti mampu menangani dengan baik isu peralihan kuasa yang berbangkit sebelum ini.

Johari menjelaskan mesyuarat Majlis Sekretariat PH petang tadi tidak membincangkan soal peralihan kuasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Itu (peralihan kuasa) bukan kuasa kita. Itu malam ini. Saya jangka pertamanya Malaysia perlu muncul sebagai sebuah negara terbaik dirantau ini dari segi politik dan ekonomi.

“Saya tahu pemimpin kita cukup berpengalaman. Kita sudah hadapi pelbagai halangan dan berjaya tanganinya dengan baik.

“Jadi saya rasa soal kepimpinan ini bukan cabaran besar yang saya fikir kita sudah cukup matang untuk mengendalikannya,” katanya ketika ditemui media di Wisma Putra hari ini.

Beliau ditemui selepas mesyuarat Majlis Sekretariat PH, yang berlangsung tiga jam sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH malam ini. Mesyuarat Majlis Sekretariat disertai pimpinan PH negeri.

Ketika ditanya mengenai akuan bersumpah, Johari, yang juga orang kepercayaan Anwar, mendakwa pihaknya mempunyai angka yang cukup.

“(Akuan bersumpah) cukup untuk kita meraikan semua kawan-kawan yang mahukan suasana yang lebih tenang.

“Apa jua yang berlaku, kita mahu melihat Malaysia yang lebih baik.

“Bila rakyat bersedia, komuniti antarabangsa bersedia, ahli politik macam saya bersedia, kita gabungkan semua ini dan kita akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, ada desas-desus wujud usaha mengumpulkan sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen untuk memastikan Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

Dr Mahathir sebelum ini berkali-kali berkata beliau akan terus jadi perdana menteri sehingga Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) November ini.

Sementara itu Setiausaha Agung Amanah Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata mesyuarat Majlis Sekretarit PH hari ini hanya memberi tumpuan kepada operasi parti terutamanya di peringkat negeri.

“Tiada isu besar cuma hendak perkemaskan struktur PH di peringkat negeri supaya dapat berjalan lancar dengan perwakilan yang sama. Kita setuju kerjasama antara parti perlu diperkemaskan, mesyuarat dikerapkan.

“Kita adakan mesyuarat ini sekurang-kurangnya empat kali setahun. Kita dengar pandangan daripada negeri, apa masalah yang mereka hadapi dan kita cuba selesaikan secara tertutup,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.

The Malaysian Insight difahamkan ini adalah kali kedua mesyuarat Majlis Sekretariat PH bersama pimpinan negeri, selepas yang pertama pada Mac 2019. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen