POLIS sudah membuka tiga kertas siasatan terhadap Najib Razak dan Rosmah Mansor berkaitan rakaman audio yang didakwa membabitkan komplot jenayah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Pengarah Jabatan (Siasatan/Perundangan) Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata polis sedang menyiasat tuduhan itu sebelum bertindak.
“Ia membabitkan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 218 Kanun Keseksaan kerana perbuatan penjawat membentuk rekod atau tulis yang tidak betul bagi melindungi seseorang daripada hukuman dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana perbuatan penjawat awam mendedahkan siasatan rasmi kepada pihak tidak sepatutnya.
“Kita sedang meneliti rakaman percakapan yang dibuat sebelum menentukan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Najib dan Rosmah petang ini hadir memberi keterangan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Duta, Kuala Lumpur, selepas pagi tadi memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman.
SPRM mengesahkan Najib dan Rosmah dipanggil untuk membantu siasatan dan dirakam percakapan selama sejam. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pasangan itu memasuki pekarangan bangunan akademi itu dengan menaiki kereta Proton Perdana pada jam 3 petang.
Peguam pasangan itu, Rajivan Nambiar dan Mohamed Reza Rahim tiba kira-kira jam 2.30 petang di bangunan yang sama.
Polis juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil lagi pasangan itu jika wujud keperluan, kata Mior lagi.
Pada 8 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib dan Rosmah yang dirakam perbualannya sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1 Malaysia Develoment Berhad (1MDB) dan SRC International Berhad.
Senarai itu yang turut membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM dalam satu sidang media.– 21 Februari, 2020.
Komen