PERTIKAIAN diplomatik disebabkan lembu dan ayam memburukkan lagi ikatan antara Kenya dan Tanzania yang sedia buruk, dengan Nairobi melakukan bantahan rasmi terhadap jirannya, kata Kementerian Luar pada Rabu.
Pertikaian antara dua negara Afrika itu bermula bulan lepas apabila Tanzania merampas dan melelong lebih 1,300 lembu yang berkeliaran memasuki sempadan negara itu dalam kawasan pengembala seringkali tidak peduli soal sempadan negara.
Seminggu selepas itu, Tanzania juga merampas dan membakar hidup-hidup 6,500 ayam yang dibawa masuk ke negara itu dari Kenya atas faktor kebimbangan penyakit.
Menteri Luar Kenya Amina Mohamed berkata wakil negara di blok Komuniti Afrika Timur (EAC) itu sudah menghantar “notis protes” kepada Tanzania.
Siri pertikaian dan pergaduhan diplomatik memburukkan hubungan dua negara berjiran itu sejak beberapa bulan lalu.
Pedagang Kenya mengadu tentang layanan buruk pihak imigresen Tanzania yang mencetuskan protes di sempadan, dan pertikaian bertambah buruk apabila kedua-dua negara saling mengharamkan import barang ke negara masing-masing.
Pada Mac tahun lepas, delegasi menteri tenaga Kenya dihalang memasuki Tanzania sedangkan delegasi Uganda dibenarkan masuk tanpa sekatan.
Halangan itu berlaku ketika Uganda sedang berbincang untuk meluluskan saluran paip minyak untuk melalui sama ada Tanzania atau Kenya.
Kenya tewas dalam bidaan perjanjian minyak bernilai tinggi itu yang dimenangi Tanzania.
Presiden Tanzania John Magufuli yang semakin hebat dikritik kerana pemerintahan kuku besinya memberikan amaran kepada Kenya yang apa sahaja ternakan yang memasuki negaranya akan dirampas. – AFP, 8 November, 2017.
Komen