Audio konspirasi: SPRM juga ambil keterangan Najib, Rosmah hari ini


Kalidevi Mogan Kumarappa

Rakaman audio yang didedahkan awal tahun ini turut melibatkan perbualan antara Najib Razak dan Rosmah Mansor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

AGENSI antirasuah akan merakamkan keterangan Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor petang ini berhubung rakaman audio yang ia dedahkan awal tahun ini yang menunjukkan ada usaha campur tangan dalam siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas perdana menteri dan isteri akan diambil keterangan mereka di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Duta pada 2.30 petang ini, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pagi ini mereka ke Bukit Aman, petang dirakam keterangan SPRM pula. 

“Ia bagi membantu siasatan kami berhubung salah guna kuasa seperti yang didedahkan  melalui sembilan rakaman audio bulan lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Najib dan Rosmah disiasat di Bukit Aman pada 10 pagi ini.

Media melaporkan sebelum ini, polis menyiasat dari sudut konspirasi jenayah manakala SPRM menyiasat atas kesalahan salah guna kuasa.

Semalam, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata rakaman keterangan mereka akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Sebelum ini, media melaporkan polis telah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Polis sudah merakam percakapan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua setiausaha sulit Najib iaitu Shukry Mohd Salleh dan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata pihaknya akan menyiapkan siasatan kes itu dalam tempoh sebulan lagi.

Pada 8 Januari lepas, SPRM mendedahkan sembilan rakaman audio perbualan. Siri perbualan itu membayangkan ada kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd.

Rakaman audio itu melibatkan perbualan antara Najib dan Rosmah, Najib dan individu dari Emiriah Arab Bersatu, serta Najib dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara.

Rakaman itu dikatakan dibuat antara 5 Januari dan 29 Julai pada 2016. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen