Netanyahu umum penempatan baharu di timur Baitulmaqdis


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menjangkakan pertambahan penduduk Har Homa antara 40,000 ke 50,000 apabila unit baharu itu siap. – Gambar AFP, 21 Februari, 2020.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam mengumumkan rancangan membina beribu rumah baharu untuk penduduk Yahudi di di timur Baitulmaqdis.

Netanyahu mengumumkan demikian menjelang pilihan raya yang akan diadakan dua minggu lagi.

“Kita akan menambah 2,200 unit lagi di Har Homa,” katanya menerusi video yang disiarkan pejabatnya.

Penempatan Har Homa dibina pada 1997 semasa pentadbiran Netanyahu sebelum ini.

Katanya, pembinaan awal diluluskan meskipun mendapat tentangan antarabangsa dan menjangkakan pertambahan penduduk Har Homa antara 40,000 ke 50,000 apabila unit baharu itu siap.

Beliau juga mengumumkan kelulusan membina penempatan baharu di Givat Hamatos, yang terletak bersebelahan dengan kejiranan Palestin Beit Safafa di timur Baitulmaqdis.

“Penempatan baharu ini akan mempunyai 3,000 rumah untuk penduduk Yahudi dan 1,000 untuk penduduk Arab Beit Safafa,” kata Netanyahu.

Badan pemantau Peace Now menggelar projek pembinaan Givat Hamatos sebagai “tamparan hebat kepada penyelesaian dua negara” kerana ia akan mengganggu kesinambungan antara Bethlehem dan timur Baitulmaqdis. – AFP, 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen