Bukit Aman arah operasi kesan pemandu mabuk setiap hari


Kalidevi Mogan Kumarappa

Semua kontinjen polis negeri diarah jalankan operasi bagi membendung peningkatan kes dan kebimbangan orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2020.

BUKIT Aman mengarahkan semua kontinjen polis mengadakan operasi mengesan pemandu mabuk setiap hari seperti dijalankan di pasukan itu Kuala Lumpur untuk membendung peningkatan kes itu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata arahan itu berdasarkan kejayaan mengesan pemandu mabuk di ibu negara sejak Januari.

“Hampir setiap hari ada lima atau enam pemandu mabuk yang ditahan di Kuala Lumpur. Sepanjang tahun ini, seramai 158 ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol yang tinggi.

“Jadi, sebagai langkah drastik, JSPT Bukit Aman mengarahkan semua kontinjen mengadakan operasi mengesan pemandu mabuk setiap hari seperti yang dijalankan JSPT KL.

“Hasilnya, dalam tempoh sebulan pertama tahun ini, sebanyak 116 operasi dijalankan dan 316 ditahan selepas membuat pemeriksaan ke atas 3,702 orang yang di seluruh Malaysia,” katanya.

Tambahnya, kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol menunjukkan peningkatan di negara ini.

“Berdasarkan statistik JSPT pula, memang ada peningkatan kecil berbanding tahun sebelumnya. Namun ia masih di bawah kawalan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, isu berkaitan kemalangan berpunca dari pemandu mabuk itu kini kerap didengari hingga merisaukan orang awam kerana mengakibatkan ramai cedera, maut dan hilang anggota badan.

Beliau turut menyokong agar hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada mana-mana individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kami menyambut baik cadangan ini dan percaya kerajaan mempunyai pelan mereka dalam meminda undang-undang berkaitan, supaya ia bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.

Azisman berkata polis akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dengan Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pengangkutan Jalan dalam masa terdekat.

“Perbincangan dari sudut perundangan akan dibuat dan saya percaya masyarakat juga mengalu-alukan perkara ini,” katanya.

Individu yang memandu dalam keadaan mabuk pada masa ini boleh dikenakan denda RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan mengikut Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Individu yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 dan penjara tidak lebih 12 bulan mengikut Seksyen 43 akta sama.

Ia menimbulkan kritikan banyak pihak yang menganggapnya hukuman itu amat ringan berbanding peruntukan bagi kesalahan menyebabkan kematian menggunakan teknik lain.

Azisman turut memtikan kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyimpulkan Malaysia antara 35 negara yang dikategorikan tertinggi dari segi kemalangan jalan raya berpunca dari pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Menurut Azisman, sepanjang tahun lalu, sebanyak 911 operasi dijalankan membabitkan pemeriksaan ke atas 19,281 kenderaan dan 20,966 orang sebelum 1,116 ditahan daripada jumlah itu. – 21 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen