PEGUAM D.P. Naban tidak lagi mewakili pendakwaan dalam saman tuntutan cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion oleh kerajaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
The Malaysian Insight difahamkan Pejabat Peguam Negara akan melantik pengganti Naban tidak lama lagi.
Ia juga difahamkan susulan dakwaan serius berkenaan kesalahan cukai yang melanda firma guaman terkenal Lee, Hishammuddin, Allen and Gledhill. Naban adalah peguam kanan dalam firma tersebut.
Dakwaan mencetuskan pertikaian dalam kalangan rakan kongsi yang menyebabkan firma itu ibarat retak menanti belah.
Naban semalam mengesahkan beliau menarik diri dari pasukan pendakwaan.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, kedudukan Naban dalam pasukan pendakwaan tidak dapat dipertahankan sebaik sahaja dakwaan salah laku cukai membabitkan firma itu timbul.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga difahamkan akan membuat pengumuman mengenai penggantian Naban dalam kes tuntutan saman terhadap Najib.
Najib sebelum ini memohon mencabar kesahan pelantikan Naban sebagai peguam mewakili LHDN dan menuntut surat pelantikan peguam itu sebagai bukti.
Bagaimanapun, Najib kemudian menarik balik permohonan tersebut selepas Naban mengemukakan surat pelantikannya di mahkamah.
Kerajaan Malaysia menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut RM1.69 bilion cukai pendapatan yang masih terhutang, dengan faedah pada lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, serta kos dan pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Saman difailkan selepas ahli Parlimen Pekan itu gagal menjawab pertanyaan awal LHDN mengenai taksiran cukai tambahan sebanyak RM1.47 bilion pada Mac tahun lalu.
Ini menyebabkan kenaikan 10 peratus sebanyak RM147 juta pada April dan kenaikan tambahan lima peratus sebanyak RM80 juta pada Mei.
Tambahan 10 peratus pertama adalah selaras dengan Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 selepas Najib gagal membayar RM1.47 bilion dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis penilaian awal diserahkan.
Mahkamah menetapkan 28 Februari bagi keputusan permohonan Najib menangguhkan prosiding saman tersebut.
Sekiranya permohonan Najib ditolak, mahkamah akan meneruskan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman ringkas terhadap bekas perdana menteri itu. – 20 Februari, 2020.
Komen