Pengerusi j'kuasa pemilihan Bersatu Perak diserang anggota parti


SM Amin

Sekumpulan individu didakwa anggota Bersatu menyerang seorang seorang pemimpin jawatankuasa pemilihan parti Perak kerana mengesyaki individu itu melakukan penyelewengan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

SEKUMPULAN individu didakwa anggota Bersatu menyerang seorang pemimpin jawatankuasa pemilihan parti Perak kerana mengesyaki individu itu melakukan penyelewengan.

Serangan mulut itu berlaku susulan pemilihan sengit bahagian Bersatu Parit pada Ahad lalu yang bermasalah kerana ada cawangan yang masih belum selesai bermesyuarat.

Pengerusi jawatankuasa itu, Saiful Adli Mohd Arshad mengesahkan kejadian beliau diserbu kumpulan lelaki berkenaan namun menafikan dakwaan berlaku penipuan dalam pemilihan.

Saiful Adli memberitahu The Malaysian Insight, kumpulan lelaki itu mendakwa beliau sedang mengira undi dari cawangan di sebuah bilik sebuah rumah rehat tersebut, yang dinafikannya.

“Tidak berlaku sama sekali kiraan undi dalam bilik tersebut. Pemilihan Bersatu macam pilihan raya, kiraan undi dibuat di cawangan.

“Orang datang mesyuarat cawangan, mengundi di cawangan, peti undi dibuka di cawangan dan dikira di cawangan. Keputusan diketahui di cawangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, individu berkenaan mendakwa beliau memanipulasi dalam pemilihan bahagian itu, yang juga masih belum selesai dijalankan kerana satu daripada 13 cawangan belum selesai bersidang.

“Saya tidak manipulasi jumlah undian dan jumlah undian itu pun calon itu tidak bantah,” ujarnya menjelaskan perjalanan pemilihan pada Ahad.

Jelasnya, pemilihan Bersatu dilaksanakan seperti mana proses pilihan raya yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mana peti undi dibuka dan dijumlahkan di tempat sama.

Serangan kumpulan lelaki itu dirakam dalam satu video yang tular baru-baru ini.

Video sepanjang kira-kira 2 minit itu antara lain menunjukkan kumpulan lelaki berkenaan mengherdik dan menuduh Saiful Adli sedang memanipulasi undi.

Dalam pemilihan Bersatu Bahagian Parit, penyandang ketua bahagian, Abdul Nasir Talib dicabar oleh Ruslan Hussin dalam pertandingan satu lawan satu. – 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen