Tapak pelupusan sampah tutup, masa depan Orang Asli makin suram


Alfian Z.M. Tahir

Tapak pelupusan sampah di Bukit Ibam berhampiran Muadzam Shah di Pahang menjadi lokasi penduduk Orang Asli berhampiran mencari barangan kitar semula untuk dijual. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Februari, 2020.

SEJAK tiga tahun lalu, Penoi Aneng mencari barangan yang boleh dikitar semula untuk kelangsungan hidup dan mencari sesuap nasi bagi keluarganya, di tapak pelupusan sampah di Bukit Ibam berhampiran Muadzam Shah di Pahang.

Wanita berusia 53 tahun berasal dari Kampung Simpai, Pekan keluar dari kampungnya untuk mencari peluang hidup lebih baik tetapi akhirnya terpaksa mencari tin minuman kosong, akhbar, besi dan aluminium yang dapat dijual untuk mencari wang.

“Saya dang dari Kampung Simpai dan agak jauh dari Bukit Ibam. Saya datang ke sini tiga tahun lalu untuk cari kerja dan membawa anak-anak bersama.

“Abang ipar saya tinggal di sini di Kampung Bukit Biru, dekat dengan tapak pelupusan sampah itu.

“Kami tidak tinggal di tapak pelupusan itu. Setiap hari selama tiga tahun, saya ke tapak itu untuk mencari barangan kitar semula yang boleh dijual.

“Ia kerja yang sukar tetapi itu saja sumber pendapatan untuk keluarga saya. Dalam seminggu atau dua minggu, saya boleh dapat RM100 hingga RM200,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, empat anaknya turut membantunya di tapak pelupusan itu.

Penoi Aneng dari Kampung Simpai mencari sesuap nasi untuk keluarganya daripada hasil barangan kitar semula diperoleh dari tapak pelupusan sampah di Bukit Ibam, sejak tiga tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Februari, 2020.

Tetapi semua itu berakhir sekarang selepas Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang mengumumkan tapak pelupusan itu ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta.

Mulai sekarang, tapak pelupusan itu hanya boleh dimasuki oleh operator dan lori sampah yang dilantik.

Keputusan itu dibuat semalam selepas lawatan ke tapak berkenaan oleh SWCorp dan Menteri Perpaduan Negara P.Waytha Moorthy.

Ia susulan pendedahan jurugambar S.C. Shekar yang mendokumentasikan penduduk Orang Asli di Kampung Bukit Biru bekerja di tapak pelupusan itu untuk kelangsungan hidup. – 19 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen