Cerita Alias Mohamad, pendatang Myanmar, jadi kaya


Zainal Rashid Ahmad

BAGAIMANA Alias Mohamad mampu memiliki dua bengkel dan lapan lot kedai sewa di sekitar Kuala Lumpur dan Puchong?

Bagaimana seorang pendatang haram Myanmar pada 1993 mampu mendapat status pelarian daripada UNHCR pada 2002?

Apa cerita di sebalik pendapatan RM24 ribu sebulan hasil sewaan kedai?

Paling menarik, kisah Alias, 53 tahun bermula 27 tahun lalu. Dia memulakan perjalanan pada Jun 1993 dengan menyelinap masuk secara haram menembusi sempadan Malaysia.

Perjalanannya bermula dari sempadan Myanmar-Thailand.

Setelah berjalan kaki menyusur hutan sempadan di Myanmar bersama enam rakannya, Alias berjaya tiba di utara Thailand.

“Kami menumpang lori dari sempadan Thailand-Myanmar menuju ke Bangkok,” kata Alias memulakan cerita.

Dari Bangkok, sindiket pemerdagangan manusia mengenakan caj RM900 untuk menyeludup Alias dan rakan-rakan ke Butterworth, Pulau Pinang.

“Kami disumbat dalam perut bas ekspres dicelah-celah beg penumpang dan meniarap selama 13 jam sebelum sampai ke Butterworth,” ceritanya.

Memulakan perjuangan hidup di Malaysia

Setibanya di Butterworth, Alias mulai ketakutan. Pada usia 26 tahun, itu kali pertama dia meninggalkan kampung halamannya di Yangon.

Selepas melalui kepenatan menyusur hutan dan rasa takut selama lima hari, Alias panik kerana dia tiba-tiba sudah berada di Malaysia.

“Cuma saya lega. Perjalanan kami selamat. Saya tidak peduli apabila terpaksa berbaring dalam ruang beg pakaian. Sepanjang perjalanan saya asyik menyeluk stokin,” ceritanya.

Bagi mengelakkan dirompak, Alias tidak membawa banyak wang tunai. Hanya tas jerut kecil sebesar saiz botol minyak atar yang disimpan dalam stokinnya.

“Saya bawa 16 biji batu delima. Saya dapat tahu, batu delima Myanmar sangat diminati di Malaysia,” katanya.

“Kamu macam orang Islam Yangon yang berduit dan bukan Rohingya dari Arakan. Kamu mampu beli 16 biji delima Myanmar?” Persoal saya.

“Saya jual motorsikal dan keluarkan semua wang simpanan. Saya memang menyimpan hajat lari ke Malaysia untuk memulakan hidup baru,” katanya.

Dari Pulau Pinang, setelah berpisah dengan rakan-rakannya bagi mengelakkan perjalanan dikesan pihak berkuasa, Alias menuju ke Kuala Lumpur menaiki bas.

Destinasi pertama yang dicarinya ialah Pasar Borong, Selayang.

“Saya ada dua kawan di situ. Mereka boleh dipercayai. Tapi saya tidak akan memberitahu mereka mengenai 16 biji batu delima yang saya miliki,” katanya.

“Kamu takut dirompak rakan sendiri?” Persoal saya.

Alias menggelengkan kepala.

“Saya perlu jual batu delima apabila sudah bersedia untuk memulakan bengkel membaiki pendingin udara,” katanya.

Alias nampaknya sangat bervisi. Ketika di Yangon, Alias yang berdarah kacukan India-Myanmar, berkerja di bengkel membaiki pendingin udara milik saudaranya.

“Tiba di Kuala Lumpur, saya dapat kerja di Jalan Ipoh setelah pemiliknya terkejut melihat kebolehan saya pada hari pertama diupah berkerja,” katanya.

Sejak itu, selama empat tahun sembilan bulan, Alias tekun bekerja dan mempelajari semua benda mengenai perniagaan di Malaysia.

“Saya mula bergaul dengan penjual batu permata di sekitar Kuala Lumpur. Saya mempelajari selok-belok urus niaga, nilai pasaran batu delima Myanmar dan potensinya,” kata Alias.

Alias menceritakan pengalaman dirinya sebagai pendatang haram dan bahaya untuk terlalu memunculkan diri di sekitar “pembuat wang”.

Walaupun dia bukan etnik Rohingya, Alias terpaksa menyamar dirinya antara mangsa krisis kemanusian di Arakan.

“Saya perlukan kad UNHCR bagi memastikan pergerakan saya selamat. Semua ini ada sebabnya.

“Selepas memahami cara perniagaan membaiki pendingin udara dan sudah kenal ramai orang, saya buka bengkel sendiri di Puchong,” katanya.

Taukeh lamanya di Jalan Ipoh banyak membantu. Ketika itu, permintaan pemasangan dan servis pendingin udara memiliki permintaan tinggi.

“Walaupun saya mula meniaga sendiri, taukeh lama memberikan saya banyak pelanggan kecil yang dia enggan layan kerana sibuk,” kata Alias.

Dua tahun pertama setelah membuka bengkel di Puchong, Alias mula didatangi samseng dan pihak berkuasa “kaki paw”.

“Mereka tahu saya kosong (tidak memiliki kad UNHCR),” katanya.

Atas nasihat taukeh lamanya, Alias ke Pejabat UNHCR dan berjaya mendapatkan kad pelarian berstatus pelarian politik.

Perniagaannya pula berjalan dengan baik walaupun masih diganggu “kaki paw”.

Itu sebab utama Alias berusaha mendapatkan kad UNHCR. Apabila profilnya ketara sebagai peniaga, dia terdedah pada manipulasi samseng dan pembulian kuasa.

Alias memulakan perniagaan dengan modal gaji simpanan selama berkerja di Jalan Ipoh.

Namun, penyelamat utama dalam menyediakan RM40 ribu modal memulakan perniagaan, ialah batu delima yang disimpan selama lima tahun.

“Saya kenal ramai kawan kaki jual batu. Saya lega sebab batu delima Myanmar dianggap yang terbaik di dunia,” katanya.

Alias menghabiskan masa bergaul dengan peniaga batu cincin dari suku Minang di sekitar Chow Kit pada setiap hari Ahad.

“Saya terkejut. Sebiji batu delima berharga RM250 di negara asal saya, boleh mencapai harga RM2 ribu hingga RM3 ribu di Kuala Lumpur,” katanya.

Ketika sudah mampu menggaji pekerja di bengkelnya, Alias memulakan kerja berulang alik ke Yangin melalui laluan sempadan Malaysia-Thailand-Myanmar pada 2001.

“Waktu itu saya ada modal RM20 ribu ke RM30 ribu untuk membeli batu delima Myanmar dan dibawa ke Kuala Lumpur,” katanya.

Mengunakan laluan yang sama ketika memasuki Malaysia pada 1993, Alias melakukan puluhan siri penyeludupan batu delima dari Yangon ke Kuala Lumpur.

“Ini bisnes yang paling untung. Modal saya sekitar RM20 ke RM30 ribu, tapi saya hanya bawa batu delima yang bermutu tinggi. Saya boleh jual semula pada harga tiga atau empat kali ganda di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Ketika pertama kali pulang ke Yangon selepas lapan tahun merantau, Alias berasa sedih kerana dua anaknya sudah berusia 10 dan 13 tahun.

Impian melihat anak belajar di Kuala Lumpur

“Saya sudah niat mahu berhenti buat kerja yang bahaya ini apabila dua matlamat tercapai,” katanya.

“Matlamat apa Alias?” Tanya saya.

“Pertama, beli rumah yang sempurna untuk keluarga di Yangon. Kedua, saya mahu anak masuk universiti di Kuala Lumpur,” katanya.

Alias kagum dengan pendidikan rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, dia sedih melihat nasib 100 ribu pelarian Rohingya yang terabai di negara ini.

“Tanpa pendidikan, mereka akan menjadi pelarian seperti saya juga. Pergi ke mana pun susah hidup sebab tiada pendidikan,” kata Alias.

Setelah melakukan puluhan siri perjalanan antara Myanmar-Thailand-Malaysia, akhirnya Alias memiliki wang yang cukup.

Dia menabung sebahagian besar wang hasil pendapatan sewa kedai, perniagaan bengkel dan keuntungan menjual batu delima.

“Saya memiliki dua bengkel dan beli satu demi satu kedai kecil di Kuala Lumpur dan Puchong sepanjang 12 tahun selepas berniaga sendiri. Saya sewakan semuanya,” katanya.

Setelah bisnesnya stabil, Alias nekad memulakan hidup baru.

“Saya membeli rumah yang selesa di Yangon pada 2010, dan melepaskan kad UNHCR. Saya berulang alik ke Kuala Lumpur sebagai pelancong mulai 2015,” katanya.

Pada waktu itu, Alias datang ke Kuala Lumpur dua atau tiga bulan sekali. Dia menggajikan pekerja di bengkel dan pada masa sama menguruskan dua bengkel baharu di Yangon.

“Cita-cita saya tercapai apabila anak sulung berjaya masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya.

Anak lelaki sulung Alias sudah lulus belajar dan sekarang bekerja sebagai eksekutif teknologi komputer dengan syarikat Amerika Syarikat di Cyberjaya.

“Anak kedua saya hanya minat uruskan bengkel di Yangon saja. Saya berharap anak bongsu saya dapat datang belajar di Malaysia juga. Cuma sekarang dia masih sekolah rendah,” katanya.

Sejak 2015, Alias hanya datang lima atau enam bulan sekali ke Kuala Lumpur. Urusan bengkelnya kini diserahkan pada rakan kongsi dengan syer 50/50.

Namun, Alias masih meraih untung bersih dari lapan unit kedai sewanya.

“Sekarang ekonomi tak berapa bagus. Saya hanya bawa sepuluh atau dua belas batu delima tiap kali datang. Saya bawa yang betul-betul ada kualiti. Delima gred A masih ada permintaan VIP,” ceritanya.

Pada usia 53 tahun, Alias memperlahankan aktiviti mencari duit. Dia lebih aktif dengan jemaah tabligh.

Selain membantu NGO berkaitan pelarian Rohingya.

“Cuma saya kena hati-hati. Saya masih warga Myanmar. Kena elak masalah supaya tidak dilihat anti Myanmar,” katanya.

Kami berbual hingga jam 2.45 pagi. Alias bertolak ke KLIA pada 3 pagi kerana akan terbang ke Kota Kinabalu.

“Di Sabah, saya ada pelanggan tetap yang meminati batu delima. Sekarang fokus jual batu di Kota Kinabalu,” katanya.

Kisah perjalanan pendatang asing alias pemegang kad UNHCR alias pelancong sah macam Alias ini satu kisah menarik.

Alias usahawan kecil melalui dua bengkelnya, tetapi pemilik hartanah dengan lapan unit kedai sewa. Pada masa yang sama juga bergelar saudagar batu delima.

Semuanya bermula dengan kisah seorang pendatang haram yang menyelinap sempadan Myanmar-Thailand sebelum diseludup ke Malaysia.

Memang Malaysia “syurga” bagi pendatang yang tahu cara memanfaatkan peluang mencari rezeki. – 19 Februari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen