Penduduk Sg Kim Kim kecewa dengan kerajaan negeri


Mohd Farhan Darwis

Kawasan sekitar Sungai Kim Kim kini kini dipenuhi semak samun, dengan hidupan liar seperti biawak berkeliaran di sepanjang sungai. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

PENDUDUK Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor kecewa dengan kerajaan negeri yang sehingga ini mereka dakwa belum lagi menyelesaikan beberapa perkara berhubung isu itu, susulan insiden pencemaran bahan kimia menjejaskan hidup mereka hampir 12 bulan lalu. 

Mereka mendakwa belum menerima pampasan yang dijanjikan oleh kerajaan selepas pencemaran bahan kimia itu mengakibatkan 1,900 penduduk termasuk pelajar sekolah dimasukkan ke hospital.

Mereka juga memberitahu The Malaysian Insight sehingga sekarang mereka masih menunggu tindakan susulan kerajaan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa toksik ke sungai itu.

“Kita macam dah putus asa, kerajaan berjanji nak beri pampasan tetapi sampai hari ini tak semua mereka yang terkesan dah terima pampasan. Mereka janjikan pampasan antara RM200 hingga RM500.

“Bila kita bangkitkan pihak berwajib minta kami bersabar. Mereka kata ada pemberian pampasan mengikut fasa, sedangkan pada peringkat awal tidak pernah cerita pun ada fasa satu, dua dan sebagainya. 

“Bila kita tanya berkali-kali baru kata ada fasa,” kata Mohd Rafee Abdullah, 47, kepada The Malaysian Insight dalam satu pertemuan di Pasir Gudang, minggu ini.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA) Taman Pasir Putih itu berkata, daripada lebih 766 individu yang seharusnya menerima pampasan, hanya 462 individu yang sudah menerimanya, manakala baki 278 belum menerima pampasan yang dijanjikan.

Mereka dijanjikan wang ihsan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Pada 13 Oktober tahun lalu, media bagaimanapun melaporkan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal menyampaikan bantuan wang ihsan RM200 seorang kepada 740 penduduk yang dirawat di wad biasa, manakala 26 lagi yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) masing-masing menerima RM500.

Majlis penyerahan itu diadakan di Dewan Serbaguna Taman Mawar sempena Majlis Perasmian Bulan Kesiapsiagaan Nasional peringkat negeri.

“Apa sudah jadi?”

Rafee juga berkata isu pencemaran Sungai Kim Kim sudah hampir setahun berlalu, namun pihak berwajib tidak memaklumkan perkembangan terkini kepada penduduk.

“Apa status kilang yang bertanggungjawab, adakah mereka masih terus beroperasi, atau pesalah yang ditahan itu dikenakan tindakan, itu semua pihak berkuasa tak maklumkan kepada penduduk,” katanya.

Pihak badan bertindak sudah membuat laporan polis, selain menyerahkan tiga memorandum kepada pihak berkuasa.

Satu memorandum diserahkan kepada bekas menteri besar Osman Sapian, dan dua kepada Shahrudin, pertama semasa beliau memegang jawatan exco alam sekitar dan kedua, selepas beliau menggantikan Osman sebagai menteri besar.

Rafee juga mendedahkan beliau sendiri membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada April tahun lepas.

“Tapi sampai hari ini senyap juga.

“Kami dah malas nak fikir, sedangkan anak saya antara 12 pelajar sekolah pertama yang dimasukkan ke hospital, tapi kami pun tidak terima pampasan,” kata pemilik restoran di Taman Pasir Putih itu.

Penduduk kesal pihak berwajib tidak memaklumkan perkembangan terkini pencemaran Sungai Kim Kim yang kini sudah hampir setahun berlalu. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

Tinggal terbiar

Tinjauan The Malaysian Insight di kawasan sekitar Sungai Kim Kim, yang hampir 12 bulan lalu jadi tempat pembuangan sisa kimia, mendapati kawasan itu kini dipenuhi semak samun, dengan hidupan liar seperti biawak berkeliaran di sepanjang sungai.

Rafee berkata, pihaknya juga sudah bertemu dengan Sahruddin secara peribadi membangkitkan rungutan penduduk berkaitan pampasan.

“Kami berjumpa secara empat mata selepas satu program di masjid, bila saya bangkitkan beliau cuma kata sabar, kita usahakan,” katanya.

Dalam memorandum terakhir yang diserahkan kepada menteri besar pada Ogos 2019, badan bertindak itu meminta lima perkara daripada pihak pentadbiran iaitu berkomunikasi dan bekerjasama dengan penduduk terlibat, selain memastikan kebajikan dan pampasan untuk mereka serta mengawal daripada kejadian berulang.

Seorang guru di sebuah sekolah di kawasan terjejas pula berkata, pelajar-pelajar di sekolahnya yang terlibat sudah diberikan sepersalinan pakaian sekolah baharu bersama pampasan.

“Di peringkat sekolah murid yang terjejas semua terima pampasan dan baju sekolah baharu, tiada isu.

“Selepas insiden tempoh hari, kita tidak nampak ada berlaku kejadian serupa lagi, kita berharap sama-samalah kita menjaga alam sekitar kita,” katanya, yang enggan mendedahkan identitinya.

Penguatkuasaan

Sementara itu, Ahyanuddin Yahya, 64, seorang lagi penduduk yang menetap di taman perumahan berhampiran Sungai Kim Kim, turut membangkitkan isu penguatkuasaan pihak berwajib.

“Kalau insiden pencemaran, tidak berlaku lagi selepas insiden Mac tahun lepas, tapi sekarang kita nak tahu mereka yang cemarkan sungai, apa tindakan dikenakan kepada mereka? 

“Apa hukumannya? Adakah kilang ini masih beroperasi? Tiada siapa yang maklumkan,” katanya.

“Pemantauan pun kita tak tahu macam mana mereka buat. Adalah nampak kenderaan Jabatan Alam Sekitar dan Bomba di kawasan ini ketika berlaku pencemaran, itu sahajalah,” tambahnya.

Tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura dari sebuah syarikat memproses tayar didakwa kerana membuang sisa kimia ke Sungai Kim Kim pada Mac tahun lalu, tidak lama selepas pencemaran berlaku.

Dua daripada mereka yang juga pengarah syarikat dikenakan 15 tuduhan lain kerana melanggar peraturan alam sekitar.

Pada 17 Julai 2019, sekumpulan 171 individu, turut memfailkan saman terhadap kerajaan negeri berhubung isu pencemaran tersebut. 

Insiden pencemaran itu menjejaskan 6,000 penduduk dan pelajar sekolah sehingga memaksa semua 111 sekolah di Pasir Gudang diarahkan tutup buat sementara waktu.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaafar dilaporkan berkata semua kilang di Pasir Gudang sudah diarah memasang peralatan kawalan pelepasan bahan cemar atau buangan berteknologi tinggi dan automatik di cerobong kilang masing-masing.

Langkah itu katanya bagi membolehkan pemantauan data pelepasan bahan buangan kilang dilakukan selama 24 jam. – 19 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen