Adun Muara Tuang cadang Perkara 16 Perlembagaan Sarawak dipinda


Desmond Davidson

Adun Muara Tuang Idris Buang mencadangkan kerajaan negeri meminda Perkara 16 Perlembagaan Sarawak yang jelas menyatakan hanya individu yang dilahirkan di Sarawak layak bertanding dalam PRN. – Gambar sarawak.gov.my, 18 Februari, 2020.

PERLEMBAGAAN Sarawak perlu dipinda supaya orang luar tidak dibenarkan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN), kata Adun dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Adun Muara Tuang Idris Buang mencadangkan kerajaan negeri meminda Perkara 16 Perlembagaan Sarawak yang jelas menyatakan hanya individu yang dilahirkan di Sarawak layak bertanding dalam PRN atau mewakili negeri di Parlimen.

Perkara 16 menyatakan: “Setiap warganegara berusia atau lebih 21 tahun pemastautin di Negeri adalah layak untuk dipilih sebagai ahli Dewan Undangan Negeri, melainkan jika dia dibatalkan kelayakan menjadi ahli oleh Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan ini atau oleh mana-mana undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 17.”

Bagaimanapun, tiada seorang pun individu dari luar Sarawak yang bertanding dalam PRN sebelum ini.

Idris, peguam dan ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata beliau melihat terdapat kelemahan bagi pengertian “pemastautin”.

“Ada banyak makna ‘pemastautin’ yang boleh didapati dalam beberapa kamus Bahasa Inggeris dan kamus perundangan, tetapi tiada masa minimum atau masa tertentu untuk tempoh tinggal atau seseorang pemastautin,” katanya.

Menurutnya, misalnya dalam kamus Merriam-Webster, “pemastautin” bermaksud orang yang menetap di sesuatu tempat.

“Jadi, dapat dilihat definisi ‘pemastautin’ di bawah Perkara 16 Perlembagaan Sarawak kita sekarang agak longgar dari segi pengertian kerana ia mungkin termasuk mereka yang pernah tinggal di negeri ini walaupun dalam masa singkat sama ada sebulan atau setahun.”

Idris berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan pindaan rang undang-undang itu pada persidangan DUN seterusnya kerana beliau berpandangan bahawa Perkara 16 Perlembagaan Sarawak sedia ada sudah tidak lagi relevan. – 18 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen