Keluarga tak sanggup tonton video kenangan manis terakhir Thaqif


Yasmin Ramlan

Mohd Gaddafi Mat Karim, bapa Mohamad Thaqif Amin tenang ketika ditemu bual mengenai anak ketiganya itu yang meninggal dunia dipercayai kerana didera di madrasah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 April, 2017.

KALI terakhir keluarga Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi melihatnya benar-benar gembira dan tersenyum ialah ketika dia cuba menggunakan mikrofon baharu dibeli datuknya untuk surau di Felda Bukit Aping Timur di Kota Tinggi, Johor.

Hari itu mereka bertemu selepas 40 hari kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan mendaftar di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, kata bapanya Gaddafi Mat Karim, 43.

Gaddafi menunjukkan video anak ketiga dari lima beradik itu yang teruja menghafaz surah Al-Quran dengan menggunakan mikrofon dibeli datuknya Ahmad Motai.

“Kami sekeluarga sangat gembira dan saya pula terharu dengan kebolehan dia menghafaz ayat Al-Quran dengan fasih. Kalau nak digambarkan kegembiraan itu, ia tidak dapat digantikan dengan wang ringgit.

“Tapi sekarang saya nak tengok video dia pun dah tak sanggup. Sebak teringatkan apa yang terjadi,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Aping Timur semalam.

Gaddafi berkata anaknya itu sangat rapat dengan ibunya.

“Mungkin perpisahan 40 hari dengan Thaqif merupakan tempoh percubaan untuk ibunya berpisah selama-lamanya dengan Thaqif,” katanya.

Katanya, masih segar di ingatan bagaimana Thaqif menunjukkan kesungguhannya menghafal ayat Al-Quran dan hadis bersama datuknya sebelum menghadapi ujian temu duga di madrasah itu.

“Sebelum ini Thaqif sekolah agama juga. Dan dia sangat beria-ia nak masuk sekolah tahfiz,” katanya.

Thaqif, pelajar tahfiz di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar in Kota Tinggi, Johor dipotong kedua-dua belah kakinya selepas dikatakan didera dan diseksa oleh pembantu warden asrama itu yang merotannya dengan getah paip sehingga kakinya bertukar lebam, biru dan hitam.

Kakinya terkena jangkitan dan kemudian tersebar ke bahagian buah pinggang serta bahu kanak-kanak malang itu.

Belajar reda kematian anak

Gaddafi berkata perkara paling sukar untuk mereka sekeluarga adalah meredai kematian anaknya.

“Setiap hari kami berdebar-debar melihat keadaan arwah kerana terlampau sedih,” katanya.

Namun, setelah mendapat nasihat dan sokongan moral daripada pihak sekeliling, ustaz dan keluarga beliau kuatkan semangat.

Bagaimanapun, ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad, 40, memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Gaddafi berkata isterinya menyesal dan marah dengan sesetengah pihak media yang memutarbelitkan situasi dan mengeluarkan laporan palsu mengenainya.

“Isteri saya sakit hati dengan laporan media yang mengatakan dia beri ubat tahan sakit lepas bersalin kepada anak saya. Ada yang kata kami hantar anak mendapatkan rawatan tradisional sebelum ke hospital, ada juga yang menuduh anak saya berpenyakit sebab tu sampai kaki kena potong.

“Biarlah, itu antara mereka dengan Tuhan,” katanya.

Pasangan suami isteri itu mempunyai anak berumur 19, 16, 11, 6 dan tiga bulan.

Katanya, beliau tidak merancang untuk mengambil tindakan terhadap media berkenaan kecuali jika mereka melampaui batas.

Hubungan baik dengan madrasah

“Kami masih menjalankan hubungan baik dengan pihak madrasah dan pengetua.

“Saya tidak mahu salahkan madrasah kerana ini masalah individu, apa-apa pun kami tunggu siasatan selesai,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi Mohammad Afdhaluddin Ismail berkata sesi pembelajaran berjalan seperti biasa walaupun berlaku terdapat insiden mengejutkan di situ dan ibu bapa pelajar memahami situasi berkenaan.

Beliau turut membawa The Malaysian Insight meninjau kawasan sekitar madrasah ketika ditemui semalam.

Pelajar Madrasah Tahfiz Al-Jauhar, Kota Tinggi Mohammad Afdhaluddin Ismail kelihatan berehat dan sesi pembelajaran berjalan seperti biasa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 April, 2017.

Afdhaluddin berkata madrasah itu berdaftar dan dipantau di bawah Jabatan Agama Islam Johor.

“Kami juga ada 24 kamera litar tertutup di dalam dan luar bilik asrama sejak tahun lepas,” katanya.

Madrasah itu mempunyai 109 pelajar (tidak termasuk Thaqif) dan enam tenaga pengajar.

“Ibu bapa tahu keadaan sebenar,” katanya.

Katanya, beliau berharap masyarakat tidak menyamakan semua madrasah selepas insiden terbabit.

“Saya harap media melaporkan sesuatu yang positif supaya masyarakat faham dan tidak menyalahkan institusi tahfiz semata-mata.

“Hidup ini biasalah dengan ujian yang kita tempuh, kita akan hadapinya, bertanggungjawab dan sama sekali tidak akan lepas tangan,” katanya.

Madrasah itu dilengkapi bilik mesyuarat, pejabat pekerja, asrama pelajar, tempat kuliah, kantin yang menyediakan makanan empat kali sehari, mesin basuh, gelanggang permainan dan gimnasium. – 28 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen