Peguam Rosmah dakwa saksi beri keterangan bercanggah


Ravin Palanisamy

Bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan Madinah Mohamad, saksi keenam pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Februari, 2020.

PEGUAM bela Rosmah Mansor menuduh saksi keenam pendakwaan Madinah Mohamad memberi keterangan bercanggah mengenai projek solar hibrid untuk sekolah di pedalaman Sarawak.

Peguam Akberdin Abdul Kader berkata bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan itu menyokong projek berkenaan pada 2016 tetapi kini tidak menyokong semasa beri keterangan di mahkamah.

Pada permulaan sesi soal balas, Akberdin berkata ketika memberi keterangan pada Khamis lepas, Madinah memberitahu mahkamah bahawa generator-set (genset) diesel adalah kaedah yang berkesan untuk membekalkan elektrik secara berterusan.

Peguam itu kemudian merujuk kepada memo bertarikh 16 Jun 2016 yang ditulis oleh Madinah kepada menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid.

Dalam memo tersebut, Madinah memberitahu Mahdzir projek solar hibrid adalah pilihan yang lebih baik berbanding genset diesel sedia ada.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu diberi kepada Jepak Holdings Sdn Bhd, yang didakwa dibantu oleh Rosmah. Rosmah dituduh meminta suapan RM187.5 juta sebagai habuan membantu syarikat itu mendapat kontrak.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu juga dihadapkan dengan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings.

Rosmah Mansor berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta sebagai habuan membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapat kontrak projek solar hibrid.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Februari, 2020.

Akberdin: Dalam kenyataan saksi kamu, kamu sebut genset diesel adalah kaedah yang lebih berkesan. Hari ini juga, kamu setuju yang ia penting. Bagaimanapun, mengikut memo yang kamu beri kepada (bekas) menteri pendidikan, kamu beritahu yang projek solar hibrid adalah lebih baik. Ini bercanggah.

Madinah: Saya tidak setuju.

Akberdin: Apa maksud kamu dengan tidak setuju? Saya merujuk kepada apa yang kamu tulis sendiri dalam memo. Kamu yang tulis sendiri. Dulu kamu sokong solar hibrid, (tetapi) sekarang kamu sokong genset diesel.

Madinah: Kalau begitu, memang ada percanggahan.

Akberdin berkata Madinah menukar pendirian selepas perkara itu dibawa ke mahkamah, dan kini mencari kambing hitam

Akberdin: Projek ini pada 2015 dan 2016. Hari ini kamu datang ke mahkamah, mengkritik projek ini. Saya katakan tindakan kamu di mahkamah, bahawa  keputusan kamu berdasarkan kepada minit perdana menteri bertarikh 7 Jun 2016 berniat jahat. Apabila kamu tersepit, kamu cari kambing hitam, untuk letak kesalahan pada orang lain. Betul?

Madinah: Tidak betul.

Akberdin merujuk kepada minit oleh Najib kepada Mahdzir yang disebut oleh Madinah dalam keterangan sebelum ini. Madinah ketika itu berkata minit itu mengarahkan genset diesel digantikan dengan sistem solar hibrid. – 18 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen